BALING – Seorang ibu terkejut apabila anak perempuannya yang berusia 14 tahun melahirkan bayi perempuan di sebuah hospital di sini semalam.
Wanita berusia lingkungan 40-an itu dikatakan membawa anaknya itu ke hospital kira-kira pukul 4.30 petang selepas mengadu sukar membuang air besar.
Dia bagaimanapun terkejut apabila doktor memaklumkan anaknya itu sarat mengandung dan sudah mahu melahirkan anak.
Pelajar itu kemudian selamat melahirkan bayi perempuan kira-kira dua jam kemudian.
Menurut sumber, wanita itu seterusnya membuat laporan polis kerana mengesyaki anaknya menjadi mangsa rogol.
“Berdasarkan keterangan diambil, dia memaklumkan anaknya mengadu sukar buang air besar sebelum nampak ada darah pada kaki anaknya.
“Dia juga menyedari perubahan bentuk fizikal anaknya, tetapi pelajar itu memberitahu ia kerana berat badannya naik,” katanya di sini semalam.
Ujarnya, pihaknya mengambil keterangan daripada pelajar terbabit dan mendakwa melakukan hubungan seks dengan dua lelaki berusia dalam lingkungan 20-an.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Baling, Superintendan Shamsudin Mamat ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian. – KOSMO! ONLINE