PENJAGA gol skuad hoki kebangsaan, Muhammad Hafizuddin Othman tidak dapat melupakan pengalaman ‘pahitnya’ sewaktu membantu Malaysian Tigers menjuarai Piala Sultan Azlan Shah (PSAS) minggu lalu.
Nama Hafizuddin, 30, menjadi tumpuan seluruh peminat hoki tempatan selepas ketua jurulatih, Arul Selvaraj menyalahkannya ekoran kekalahan kepada Korea Selatan dalam aksi pertama kejohanan itu.
Bagaimanapun, pemain berasal dari Terengganu itu berjaya menangani situasi tersebut dengan cemerlang sehingga dinobatkan sebagai penjaga gol terbaik kejohanan.
“Anugerah peribadi ini bonus buat diri sendiri sebab saya langsung tak jangka, cuma nak beri yang terbaik selepas dipersalahkan pada aksi pertama.
“Serik kena marah, Arul siap sebut nama saya dekat media. Saya sampai tak boleh tidur dengan mesej yang masuk bertalu-talu, rasa cukuplah sekali kena dekat saya,” katanya.
Bagi Hafizuddin, dua barisan kejurulatihan iaitu jurulatih penjaga gol, S. Kumar dan pegawai psikologi dari Institut Sukan Negara, Aruna Santhappan banyak membantunya meningkatkan semula keyakinan diri.
“Saya ‘goyang’ lagi aksi kedua sebab tekanan tinggi dan ramai yang melihat. Saya cuma fikir nak beri yang lebih baik sampai dapat pemain terbaik perlawanan.
“Dua orang inilah (Kumar dan Aruna) yang banyak memberikan sokongan dan bantuan sehinggalah saya jumpa sekali tahap keyakinan tertinggi,” jelasnya.
Sebagai rekod, Hafizuddin pernah dimasukkan ke hospital disebabkan tekanan yang terlalu tinggi untuk menghadapi aksi final Piala Sultan Johor 2011 ketika mewakili skuad remaja kebangsaan.