NAIROBI, Kenya – Sebuah klip video tular di media sosial memaparkan seorang pemberita televisyen di Kenya diganggu oleh seekor gajah ketika membuat siaran langsung, lapor akhbar New York Post semalam.
Dalam kejadian pada Isnin lalu, wartawan itu sedang membuat liputan di Sheldrick Wildlife Trust, Nairobi. Ia merupakan pusat pemulihan hidupan liar bukan bermotifkan keuntungan, khusus untuk gajah dan badak sumbu.
Video yang dimuatnaik pusat pemulihan itu di laman Instagram rasminya memaparkan wartawan KBC Television, Alvin Patterson Kaunda berdiri di hadapan kawanan gajah untuk memulakan siaran berita.
Keadaan kelihatan tenang pada awalnya, namun berubah apabila seekor anak gajah meletakkan belalainya pada bahu Kaunda.
“Kerja amal bermula di rumah dan bagi anak-anak gajah yatim piatu ini, Sheldrick Wildlife Trust adalah rumahnya. Inilah tempat di mana ia diajar untuk bertahan hidup, perasaan disayangi dan menangani kesedihan akibat kehilangan induknya,” kata Kaunda ketika memulakan siaran.
Seekor gajah betina bernama Kindani, 4, kemudian memeriksa telinga Kaunda sebelum menyentuh bahagian atas kepalanya.
Kaunda cuba untuk tidak mengendahkan perbuatan gajah itu tetapi ia terus mengusap wajah lelaki itu menggunakan belalainya. Aksi gajah itu menyebabkan Kaunda ketawa dengan kuat sehingga menutup mulut dengan tangannya.
Video tular itu bukan sahaja mendapat lebih 63,000 tanda suka di laman Instagram, malah dibanjiri komen orang ramai yang kagum dengan bakat kewartawanan Kaunda. – Agensi