KOTA MARUDU – Kegagalan dalam hidup tidak bermakna gagal berterusan, jika ada pilihan terbaik pastinya individu tersebut berjaya bangkit semula.
Itulah yang dialami Felicia Janari, 41, seorang Sahabat Usahawan AIM Cawangan Matunggong yang kini merupakan pengusaha cendawan berjaya di daerah tersebut.
Dia yang pernah putus asa dalam kehidupannya sebelum ini telah dibantu oleh Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) sejak lima tahun lalu.
Kehidupannya kini berubah malah membantu meningkatkan ekonomi di kawasan tersebut dengan menawarkan pekerjaan kepada penduduk setempat.
“Melalui pembiayaan dan bantuan AIM, saya kini mampu meningkatkan ekonomi diri dan keluarga,” katanya kepada Kosmo!.
Ibu kepada empat anak berasal dari Kampung Karangawan di sini telah berjaya menjana pendapatan lumayan melalui jualan hasil produk cendawan yang diusahakan di dua buah ladang miliknya.
Selain itu katanya, syarikat tersebut juga menghasilkan produk penjagaan diri dan kosmetik berasaskan cendawan seperti serum muka, sabun badan serta skrab badan yang dapat memberikan hasil terbaik untuk kecantikan diri.
Menceritakan pembabitan awalnya dalam bidang penternakan cendawan, Felicia berkata, semuanya bermula selepas dia menyertai kursus tanaman cendawan yang dianjurkan Unit Pembangunan Usahawan AIM ketika itu.
Bermula di situ, perniagaan tersebut berkembang dan dia merancang untuk membina sebuah kilang mini pemprosesan cendawan bagi penghasilkan produk hiliran.
AIM telah berjaya membantu merealisasikan impian Felicia.
Selain dana katanya, dia juga memerlukan peralatan dan mesin pemprosesan bagi memenuhi permintaan tinggi terhadap produk keluaran yang kian meningkat saban hari.
“Saya berharap AIM akan membantu mengembangkan lagi perniagaan, kali ini adalah untuk mendapatkan bantuan mesin pengadun habuk kayu untuk dijadikan bongkah dan mesin stim untuk proses memasak cendawan,” jelasnya.
Mereka yang berminat untuk mendapatkan produk Sahabat Usahawan AIM ini, boleh hubungi Felicia di talian 019-896 1748. -KOSMO! ONLINE