fbpx

Turkiye tuduh PKK dalang pengeboman di Istanbul

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
ANGGOTA unit forensik berada di lokasi letupan di Istiklal Street, Istanbul kelmarin. - AFP

ANKARA – Menteri Dalam Ne­geri Turkiye, Suleyman Soylu menuduh Parti Pekerja Kurdistan (PKK)  bertanggungjawab ke atas pengeboman di sebatang jalan sibuk di Istanbul yang membunuh enam orang. 

Letupan kuat  menggegarkan Istiklal Street yang merupakan destinasi beli-belah popular dalam kalangan penduduk tempatan dan pelancong. Letupan yang berlaku tengah hari kelmarin itu turut mencederakan berpuluh-puluh mangsa.

Menurut pihak berkuasa, seorang suspek diberkas awal pagi semalam.

“Orang yang meletakkan bom telah diberkas. Berdasarkan pe­nemuan kami, organisasi pengganas PKK bertanggungjawab melancarkan serangan ini,”  kata Suleyman dalam satu kenyataan yang disiarkan agensi berita rasmi, Anadolu semalam.

PKK  yang disenarai hitam sebagai kumpulan pengganas oleh Ankara dan sekutu Barat, meneruskan pemberontakan untuk menubuhkan pemerintahan sendiri puak Kurdis di tenggara Turkiye sejak tahun 1980-an.

PKK yang kerap menyasarkan operasi tentera Ankara, menjadi isu antara Sweden dan Turkiye. Ankara menyekat penyertaan Stockholm dalam Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara(NATO) sejak Mei lalu selepas menuduh Sweden berlembut dengan PKK.

Terdahulu, Presiden Recep Tayyip Erdogan mengutuk sera­ngan dahsyat ke atas Istiklal itu.

“Kami mungkin tersilap jika  mengesahkan serangan ini adalah keganasan tetapi berdasarkan petunjuk awal, kami menghidu bau keganasan di sana,” kata Erdogan dalam satu sidang akhbar kelmarin.

Istiklal Street  pernah menjadi sasaran kempen serangan antara tahun 2015 dan 2016 yang me­nyasarkan bandar utama lain termasuk Ankara.

Ankara menyalahkan kumpulan militan Daesh dan pejuang Kurdis berhubung siri serangan itu yang membunuh hampir 500 orang dan mencederakan lebih 200 mangsa.

Letupan kelmarin berlaku sejurus selepas pukul 4 petang (waktu tempatan) di jalan beli-belah popular itu. – AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI