TOKYO – Seorang lelaki warga emas di Jepun terpaksa menjalani pembedahan apabila tali lompat (skipping) yang dimasukkan melalui zakarnya didapati tersangkut di dalam pundi kencing, lapor akhbar Daily Star semalam.
Tindakan dilakukan oleh lelaki berusia 79 tahun itu menyebabkan pakar-pakar perubatan mendakwa mereka tidak pernah melihat kes ‘melampau’ seperti itu.
Tali lompat itu tidak mempunyai pemegang tetapi panjangnya berukuran 2.3 meter dan agak nipis. Ia didapati tersimpul di dalam pundi kencing mangsa.
Alasan perbuatan lelaki itu memasukkan tali lompat tersebut ke dalam badannya masih tidak diketahui.
Portal berita MailOnline melaporkan bahawa lelaki itu pada awalnya hadir ke Universiti Perubatan Dokkyo dan mengadu mengenai rasa perit yang dialami semasa ingin membuang air kecil.
Petugas perubatan kemudian menjalankan beberapa imbasan termasuk ujian ultrasound pada pundi kencing lelaki itu.
Disebabkan keliru terhadap hasil imbasan, anggota paramedik kemudian menjalankan imbasan X-ray, di mana mereka menemui satu ‘bendasing yang bergelung seperti wayar’. Pesakit tersebut kemudian mengaku dia memasukkan tali lompat itu ke dalam zakarnya.
Kes itu diterbitkan dalam jurnal Urology Case Reports. Pengarang utama kajian, Profesor Toshiki Kijima berkata, imbasan dan model membuktikan bahawa peluang untuk menarik tali itu keluar semula daripada kemaluan adalah mustahil kerana keadaannya yang bersimpul.
Ketika pembedahan dijalankan, petugas perubatan tidak dapat mengeluarkan tali itu melalui saluran yang sama. Mereka sebaliknya terpaksa membuat lubang pada pundi kencing mangsa untuk mengeluarkannya. – Agensi