LAPANGAN Terbang Antarabangsa Mumbai, India tiba-tiba kecoh apabila aktor terkenal Bollywood, Shahrukh Khan (SRK) dikatakan tidak membayar cukai hingga ditahan pihak kastam.
Begitupun, keadaan yang digembar-gemburkan tidak seperti digambarkan berikutan timbul salah faham mengenai situasi tersebut.
Semuanya bermula apabila bintang Dilwale itu baru pulang daripada menyertai acara anugerah di Sharjah dan tidak mengisytiharkan barangan mewah yang dibawa.
Antaranya adalah sebuah jam tangan berharga sekitar RM4,000 selain enam jam tangan jenama mewah bernilai lebih RM100,000.
Barangan tersebut ditemui pihak kastam ketika melakukan pemeriksaan terhadap pelakon yang tiba di terminal Chhatrapati Shivaji, Mumbai pada Sabtu lalu menaiki jet peribadi.
Begitupun, selepas perbincangan salah faham tersebut dapat diselesaikan kerana tiada pegawai atau kaunter khusus untuk bayaran duti kastam di situ.
Sumber mendedahkan SRK dibenarkan keluar dari lapangan terbang tersebut, manakala seorang pengawal peribadinya menguruskan bayaran duti sebanyak RM39,000 kepada pihak berkuasa.
Sebelum itu, SRK hadir ke acara Festival Buku 2022 di daerah Sharjah bagi menerima anugerah Ikon Filem dan Kebudayaan.