PETALING JAYA – Rakyat Malaysia yang layak diminta menjalankan tanggungjawab dengan keluar mengundi pada Sabtu ini bagi memilih pemimpin yang akan memimpin negara ini.
Mentor usahawan, Datuk Wira Dr. Azizan Osman berkata, pengundi-pengundi tersebut apatah lagi yang beragama Islam, wajib menjalankan tanggungjawab memilih calon yang dapat mewakili mereka kelak.
Katanya, bagaimanapun mereka dinasihatkan bukan sekadar mengundi dengan menanda ‘pangkah’ semua calon pada kertas undi kerana ia hanya akan menyebabkan undi rosak.
“Setiap satu undi anda bererti, jika kita pilih pemimpin yang baik ia akan jadi dokongan untuk mewakili sesuatu Parlimen dengan orang yang baik.
“Saya bercakap tentang manusia, di mana setiap pengundi memilih orang yang akan menjadi wakil mereka nanti,” katanya dalam video yang dimuat naik dalam laman Facebook Azizan Osman Official semalam.
Beliau difahamkan berucap ketika sambutan ringkas hari kelahirannya yang dihadiri anak didik dan usahawan di pejabat RichWorks International Sdn. Bhd. (RichWorks).
Dalam pada itu, beliau berkata, setiap orang sebenarnya merupakan pemimpin sejak dalam kandungan ibu lagi, malah sedang memimpin diri mereka.
“Sepertimana hadis Nabi Muhammad SAW, setiap pemimpin bertanggungjawab kepada sesiapa yang mereka pimpin. Justeru, kita mempunyai hak untuk memilih, maka kita semua juga sebagai pemimpin bertanggungjawab kepada siapa yang diundi,” jelasnya.
Dalam pada itu, beliau turut meminta pengundi untuk tidak mensia-siakan undi mereka.
“Jika kita rosakkan undi, anda sama seperti pemimpin yang tidak bertanggungjawab. Jadi pilihlah mereka yang akan berikan kebaikan kepada Islam sebab saya orang Islam dan mereka yang akan menyokong dan mendokong kebaikan agar negara ini dapat hidup dengan aman sejahtera,” ujarnya.
Terdahulu, Dr. Azizan menzahirkan rasa syukur kepada Allah SWT atas nikmat dan rezeki diterima hingga hari ini termasuk memberikan masa ‘bonus’ agar dapat terus memberi manfaat dan membantu orang ramai khususnya usahawan dalam meningkatkan tahap ekonomi dan kewangan.
Malah, beliau berazam akan terus memberi manfaat kepada ramai orang.
Pada awal tahun lalu, beliau dijangkiti Covid-19 bersama 31 ahli keluarganya hingga ibu mentuanya meninggal dunia, malah Dr. Azizan sendiri hampir maut selepas berada pada tahap kritikal hingga doktor menyatakan sudah tiada harapan. – KOSMO! ONLINE.