SEBERANG PERAI – Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Nurul Izzah Anwar berharap golongan nelayan dapat membuat penilaian dalam memilih calon yang selayaknya diundi pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) ini.
Menurutnya, pengundi perlu menilai calon yang dipertandingkan dan keputusan yang sudah diambil pemimpin terdahulu dalam memperjuangkan nasib nelayan di negeri ini.
Katanya lagi, beliau dan Pengerusi Jawatankuasa Agroteknologi, Dr. Norlela Ariffin akan terus mewakili suara nelayan yang bimbang dengan masa depan mereka sekiranya projek tambakan laut selatan (PSR) diteruskan.
“Kami bekerja keras kerana kami tahu kepentingan nelayan dan pesawah dalam meningkatkan kestabilan sekuriti makanan.
“Tetapi, apa yang (calon) kerajaan Pusat buat? Mereka datang ke sini, lemparkan ‘molotov cocktail politik’ tetapi tidak buat apa-apa pun untuk mewakili suara nelayan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas berhubung kenyataan kira-kira 6,000 nelayan yang menjadi ahli Persatuan Nelayan Pulau Pinang (PenMutiara) memberi bayangan tidak akan mengundi pemimpin parti politik yang menyokong projek PSR pada PRU15.
Mengulas lanjut, Nurul Izzah yang juga calon Parlimen Permatang Pauh berkata, beliau akan terus lantang bersuara dalam menangani kemelut isu sekuriti makanan selepas pandemik terutamanya membabitkan hasil laut.
“Pelbagai cadangan yang kami suarakan kerana kita perlu lihat cabaran masa depan nelayan negeri ini dan isu hasil laut menjadi pertarungan sengit yang perlu dilindungi.
“Saya amat berharap semua pemimpin daripada mana-mana parti pun supaya mengambil kira isu kedaulatan makanan, lebih lagi pemimpin yang memegang jawatan dalam kerajaan Negeri supaya mendengar keluhan para nelayan,” katanya.
Semalam, Pengerusi PenMutiara, Ibrahim Che Rose berkata, golongan nelayan Pulau Pinang sebulat suara hanya akan menyokong pemimpin parti yang mengutamakan kebajikan dan masa depan mereka.
Pelaksanaan projek PSR seluas hampir 17 kilometer persegi itu membabitkan projek pembangunan tiga pulau buatan berkeluasan 1,700 hektar di perairan Permatang Damar Laut berdekatan Bayan Lepas.
Projek itu dibina bagi membiayai pelbagai projek infrastruktur dalam Pelan Induk Pengangkutan Pulau Pinang (PIP) yang bernilai kira-kira RM46 bilion. – KOSMO! ONLINE