PORT DICKSON: Pakatan Harapan (PH) yakin untuk mampu memenangi lima kerusi daripada lapan buah kerusi Parlimen di Negeri Sembilan pada Pilihan Raya Umum ke -15 (PRU15).
Pengerusi PH Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, keyakinan tersebut berdasarkan sokongan yang diterima daripada pengundi PH sepanjang tempoh kempen yang berbaki tiga hari lagi.
“Saya rasa kami boleh mempertahankan lima kerusi sedia ada iaitu Seremban, Rasah, Port Dickson, Tampin dan Kuala Pilah dan kami cuba mendapatkan satu hingga dua kerusi lagi termasuk di Parlimen Rembau.
“PH telah berkempen dengan bersungguh-sungguh dan teratur. Ia berjalan baik dan memperolehi sokongan daripada rakyat yang semakin meningkat dari hari ke hari,” katanya kepada pemberita selepas mengadakan tinjauan ke Pusat Pengundian Awal di Dewan Serbaguna Kem Segenting di sini hari ini.
Aminuddin yang juga calon PH di Parlimen Port Dickson turut menambah, pihaknya akan meningkatkan lagi usaha dan kempen menjelang hari pengundian pada 19 November ini.
“Saya akan pastikan kami dapat meningkatkan lagi usaha dan setiap malam kami bukan sahaja menumpukan kepada ceramah namun jentera PH akan melihat cara kempen bersesuaian,” katanya.
Pada PRU15 ini, kerusi Parlimen Port Dickson menjadi antara kerusi panas di Negeri Sembilan menyaksikan pertembungan lima penjuru.
Aminuddin akan disaingi oleh calon Barisan Nasional (BN) yang diwakili oleh bekas Timbalan Menteri Pendidikan, Datuk P.Kamalanathan, calon Pejuang, Dr. Ahmad Idham Ahmad Nadzri, calon Perikatan Nasional (PN), Rafiei Mustapha dan calon Bebas, Abdul Rani Kulup Abdullah. – KOSMO! ONLINE