Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) menyaksikan seramai 127 calon wanita akan bertanding di kerusi Parlimen, manakala 60 lagi calon di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di Perlis, Perak, Pahang dan Bugaya di Sabah.
Calon wanita terdiri daripada pelbagai latar belakang dan kelayakan akademik mewarnai PRU15, dengan ada antara mereka mempunyai kerjaya sebagai peguam, doktor dan juga memegang jawatan utama dalam parti yang diwakili.
Calon Barisan Nasional yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rim, Datuk Khaidirah Abu Zahar berkata, beliau teruja apabila melihat penglibatan wanita dalam arena politik yang dianggap cukup membanggakan.
“Saya melihat perkembangan ini sebagai sesuatu yang positif dan ia sebenarnya merupakan satu keperluan penting untuk memperkukuhkan lagi demokrasi negara.
“Jika sebelum ini, golongan wanita hanya bergantung kepada kepimpinan lelaki bagi mewakili mereka, namun sebenarnya, siapa lagi yang lebih memahami wanita selain golongan itu sendiri,” ujarnya.
Beliau berkata, dia percaya kepentingan kepimpinan wanita itu juga terletak pada perbezaan wanita dan lelaki secara psikologi.
“Dari sudut psikologinya, umum mengetahui bahawa wanita sifatnya lemah-lembut dan mempunyai empati yang lebih tinggi,” katanya yang menganggap kebolehan itu mampu mewujudkan kepimpinan yang lebih seimbang.
Ujarnya, secara keseluruhan, kita dapat melihat negara kini mempunyai lebih ramai calon wanita dalam arena politik berbanding dahulu.
“Biarpun menurut Indeks Jurang Gender 2021, skor wanita jatuh ke tangga 128 berbanding 117 daripada 156 buah negara pada 2020.
“Biarpun lambat, namun saya melihat kita berada di landasan yang tepat untuk kita meletakkan satu harapan bahawa politik wanita ini akan semakin baik pada PRU kali ini,” katanya.
Bukan sahaja BN, malah semua parti politik lain juga dilihat sudah semakin meraikan kepimpinan wanita dalam arena politik.
“Sebagai contoh dalam BN sendiri, semakin ramai wanita yang memegang jawatan sebagai ketua bahagian, yang mana jawatan tersebut sebelum ini lebih sinonim dengan lelaki.
“Ini merupakan satu signal yang baik, malah secara peribadi, jika boleh saya kongsikan, pemimpin wanita lazimnya kurang mempunyai rekod buruk,” katanya sambil menambah tidak berniat memburukkan pemimpin lelaki atau bersikap seksis, namun hanya berkongsi pendapat peribadinya sepanjang bergelar seorang wakil rakyat.
Tegas Khaidirah, tidak kira siapa pun yang diundi nanti, agenda setiap parti politik haruslah untuk membantu rakyat.
“Pilihan raya kali ini adalah amat penting memandangkan ini merupakan PRU pertama selepas pandemik.
“Justeru, agendanya haruslah untuk membantu rakyat yang kehidupan hariannya terkesan dan untuk melakukan sesuatu yang mampu membawa kepada pembinaan semula negara ke arah yang lebih baik,” katanya.