PETALING JAYA- Peratusan pengundi awal yang keluar menunaikan tanggungjawab pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) merekodkan sebanyak 16 peratus setakat pukul 9 pagi tadi.
Perkara itu dimaklumkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) selepas 578 Pusat Mengundi Awal seluruh negara mula dibuka pada pukul 8 pagi tadi.
Hari ini, seramai 224,828 pengundi awal menunaikan tanggungjawab sebagai pemilih pada PRU15 termasuk Pilihan Raya Kecil (PRK) Bugaya.
Pengundi awal terlibat terdiri daripada 117,473 anggota tentera dan pasangan serta 107,355 orang polis serta pasangan Polis Pasukan Gerakan Am (PGA).
Pusat Mengundi Awal yang ditetapkan SPR akan dibuka bermula pukul 8 pagi hingga 5 petang.
Bagaimanapun, terdapat beberapa Pusat Mengundi Awal yang akan ditutup lebih awal. – KOSMO! ONLINE.