fbpx

Pilih calon PM boleh buat kerja – Ku Li

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Tengku Razaleigh (tengah) bersama barisan Sahabat AIM di Balai Rakyat Bukit Cekati di Gua Musang hari ini. FOTO AIMUNI TUAN LAH

GUA MUSANG – Veteran UMNO, Tengku Razaleigh Hamzah menyifatkan Malaysia ketika ini memerlukan seorang Perdana Menteri (PM) yang boleh mengurus dan berkeupayaan mengangkat martabat negara.

Tengku Razaleigh atau lebih dikenali sebagai Ku Li berkata, rakyat perlu memilih calon yang berkebolehan untuk berbakti kepada rakyat selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Katanya, keputusan pilihan raya kali ini penting bagi memastikan hala tuju pembangunan dan membaik pulih keadaan ekonomi negara.

“Calon PM perlu memiliki kekuatan selain bukan seorang boneka yang begitu lemah, tidak memiliki kekuatan jati diri dan mudah tunduk kepada tekanan.

“Jadi, kita mahu kepada orang. Bukan hanya mahu mengisi jawatan tetapi mesti berkelayakan dan boleh bekerja. Dia (PM) kena kerja. Jika kerja satu hari selama 12 jam, kita mahu PM itu bekerja 20 jam sehari,” katanya selepas Majlis Perjumpaan Sahabat Amanah Ikhtiar Malaysian (AIM) di Balai Rakyat Bukit Cekati di sini hari ini.

Menurut Tengku Razaleigh yang juga calon Barisan Nasional (BN) Parlimen Gua Musang, bagi menubuhkan sebuah kerajaan yang cekap dan stabil, pengundi perlu bijak dalam membuat pemilihan calon pada PRU15.

Katanya, wakil PM yang dipilih mampu membaiki negara ketika ini terutamanya daripada aspek kesihatan dan ekonomi.

“Apa guna dipilih sebagai wakil rakyat, kalau kita tidak boleh baiki semua ini (keadaan ekonomi)? Jadi, kalau kita mahu pilih, pilihlah orang yang boleh buat kerja dan boleh menyumbang kepada membaiki keadaan hidup rakyat.

“Saya ada cadangan. Pilih orang yang benar-benar boleh menjalankan tugas dengan dedikasi dan setia. Jadi, saya rasa kita mahu tubuh sebuah kerajaan yang cekap sekali gus boleh melaksanakan semua program dihasratkan oleh rakyat seperti yang dijanjikan,” katanya. – KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI