PETALING JAYA – Pelajar sekolah teruja apabila soalan tentang kumpulan popular Korea Selatan, BTS keluar dalam peperiksaan percubaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) baru-baru ini.
Menurut satu ciapan oleh @snowstar3012 di media sosial, di dalam gambar yang dimuat naik itu jelas menunjukkan karangan dan soalan peperiksaan itu berkaitan dengan kumpulan BTS.
“Soalan peperiksaan percubaan SPM 2022, kertas Bahasa Inggeris. Soalan pasal BTS, tidak perlu baca karangan dah, jawab terus soalan,” kata @snowstar3012 teruja.
Sehingga kini ciapan tersebut telah mendapat 2,337 perkongsian dan 6,146 tanda suka.
Di ruangan komen, rata-rata terhibur dengan ciapan tersebut dan membuat andaian cikgu yang membuat soalan itu merupakan peminat BTS yang digelar sebagai BTS ARMY.
“Markah free dah tu, mesti masa jawab ni semua menjerit dalam hati, senyum dan bayangkan BTS depan mata. Cikgu yg buat soalan ni mesti ‘hardcore’ ARMY ni,” ujar @veedeera.
Kebanyakan pengguna yang komen juga rata-rata merupakan peminat BTS dan mendoakan agar pelajar dapat menjawab dengan cemerlang.
“Please all ARMY student.. pastikan ‘score’ dengan jayanya,” kata salah seorang pengguna media sosial yang lain. – KOSMO! ONLINE.