REMBAU – Sebuah trak membawa 24 anggota tentera yang dalam perjalanan untuk mengundi awal terbabit dalam nahas di Kilometer 13, Jalan Chengkau-Pilin dekat Durian Daun, di sini pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Rembau, Deputi Superintendan Hazri Mohamad berkata, kemalangan itu membabitkan lori Regimen 11 Kor Armor Diraja Gemas yang terbalik di lokasi kejadian.
Menurutnya, ketika kejadian, kesemua anggota tentera tersebut dalam perjalanan ke Pusat mengundi di Pusat Latihan Asas Tentera Darat (Pusasda) di Port Dickson.
“Lapan anggota cedera dan dikejarkan ke hospital bagi rawatan lanjut,” katanya hari ini.
Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kota, Penolong Penguasa Bomba Ahmad Hafiz Mat Junoh berkata, pihaknya menerima panggilan pukul 11.47 pagi dan sebaik tiba di lokasi didapati seorang anggota tersepit di tempat duduk belakang.
“Pihak kami menggunakan peralatan khas untuk mengeluarkan mangsa yang tersepit. Dua mangsa dalam kejadian itu cedera parah,” katanya.
Berdasarkan laporan awal, seramai 18 mangsa berada di Hospital Rembau yang mana dua orang ditempatkan di Zon Merah, tujuh (Zon Kuning) dan sembilan (Zon Hijau).
Mangsa dihantar ke hospital dengan menggunakan lima buah ambulans. – KOSMO! ONLINE