KEJAYAAN menjuarai Piala Sultan Azlan Shah bagi edisi 2022 masih lagi dirasai semua pemain skuad hoki negara yang kini cukup bersemangat untuk memburu gelaran seterusnya.
Tonggak pertahanan Malaysian Tigers, Muhammad Najmi Farizal Jazlan adalah pemain paling bertuah menjulang trofi itu selepas saat-saat akhir dilantik sebagai kapten menggantikan Muhammad Marhan Jalil.
Kejayaan itu juga cukup bermakna buat dirinya memandangkan dia baru sahaja kehilangan bapa mentuanya, Latif Hassan tiga hari sebelum kejohanan tersebut membuka tirainya di Ipoh, Perak pada 1 November lalu.
Ia secara tidak langsung menjadikan dirinya lebih bertanggungjawab biarpun dikritik hebat para peminat susulan kekalahan awal sebelum menamatkan penantian 39 tahun untuk bergelar juara kejohanan itu.
“Semua peminat, netizen atau yang mana tunggu nak hentam, sabar dulu. Semua orang kena faham proses, contoh mudah tengok Arsenal sekarang dengan Mikel Arteta di tangga teratas EPL (Liga Perdana Inggeris).
“Rasa macam bermimpi sebab kami juara, bukan setakat naik podium. Sebagai pemain hoki, ia sangat berbaloi apabila kami berjaya dapat sesuatu kejuaraan.
“Kejayaan ini amat bermakna buat kami. Walaupun orang kata ia cuma Piala Sultan Azlan Shah tetapi kami perlukannya untuk ganjaran diri sendiri,” kata pemain berasal dari Perlis itu.
Bagi Najmi, kejayaan itu tidak bermakna mereka boleh mendabik dada, sebaliknya terus memberikan aksi terbaik kerana membawa nama Malaysia.
Malaysian Tigers sudah kembali menjalani latihan semalam dengan fokus ke Piala Negara-Negara FIH di Afrika Selatan bermula 28 November ini sebelum Piala Dunia 2023 di India dari 13 hingga 29 Januari.