fbpx

Lengan terdedah, Shila Amzah akui silap, akan lebih peka

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
KEADAAN lengan Shila Amzah yang terdedah ketika menjayakan persembahan pada minggu suku akhir Gegar Vaganza kesembilan (GV9) pada Ahad lalu disedari ramai.

PETALING JAYA – Penyanyi Shila Amzah mengakui tidak perasan dan terlepas pandang apabila tidak sengaja mendedahkan aurat pada bahagian lengannya sewaktu membuat persembahan di konsert suku akhir Gegar Vaganza musim kesembilan (GV9) pada Ahad lalu.

Tampil memberikan penjelasan, Shila, 32, berkata, dia tidak menyangka sarung tangan panjang yang digayakan sewaktu membuat persembahan melorot sehingga menampakkan lengannya.

“Saya akui tidak perasan sarung tangan panjang yang digayakan melorot sehingga menampakkan bahagian lengan.

“Material sarung tangan itu kulit, jadi sepatutnya melekat dengan baik. Tapi tak sangka jadi sebaliknya,” katanya kepada Kosmo! Online.

Ujar pelantun Patah Seribu itu lagi, pakaian yang digayakan pada konsert Ahad lalu bukanlah busana asal yang perlu dipakainya dan telah ditukar pada saat-saat akhir atas sebab tertentu.

“Kalau ikutkan saya pakai baju lain. Baju yang saya pakai ini ditukar pada saat akhir kerana lebih sesuai dengan konsep persembahan.

“Sepatutnya saya kena pin bahagian antara lengan baju dengan sarung tangan. Tapi perkara dah nak jadi. Masalah teknikal melibatkan ‘wardrobe’ adalah suatu perkara yang kita sendiri kadang-kadang tidak sangka,” ujarnya.

Selain pakaian, persembahan Shila sewaktu menyanyikan lagu Survivor oleh kumpulan Destiny’s Child juga kurang disenangi netizen apabila dikatakan berlebih-lebihan dan tidak sesuai dengan imejnya yang berhijab.

Bagaimanapun, Shila berkata, konsep persembahannya pada malam itu memerlukan dia bergerak lincah dan agresif, sesuai dengan lagu yang dibawakan.

“Di atas pentas, saya perlu menjadi diri sendiri. Lagipun persembahan dibuat pada minggu suku akhir. Saya tidak boleh nak simpan-simpan (persembahan) lagi. Saya hanya buat sehabis baik,” katanya.

Sehubungan itu, Shila mengakui apa yang berlaku membuatkan dia akan lebih peka dan mempelajari kesilapan yang telah dilakukan.

“Selepas ini saya akan lebih peka dan berhati-hati. Terima kasih dengan teguran-teguran membina,” jelasnya.

Pada konsert minggu kesembilan Ahad lalu, Shila merampas kembali kedudukan berada di posisi pertama persembahan terbaik dengan markah sebanyak 85.30 peratus diikuti Hazrul Nizam (81.00 peratus) dan Jaclyn Victor (80.50 peratus). – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI