PETALING JAYA – Transit Aliran Ringan (LRT) Laluan Kelana Jaya di stesen Jelatek perlu dihentikan perkhidmatan kerana mengalami masalah teknikal pagi tadi, kata @AskRapidKL di akaun media sosialnya.
Tinjauan Kosmo! mendapati, @AskRapidKL memberi jawapan tersebut kepada ramai pengguna yang meluahkan rasa marah gara-gara terpaksa keluar daripada tren di stesen Jelatek.
“Minta maaf, tren di stesen Jelatek di bawa keluar sebentar tadi, dan akan digantikan dengan tren yang akan tiba nanti,” ujar @AskRapidKL kepada pengguna yang terkesan.
Kelihatan di dalam video yang dimuat naik oleh salah seorang pengguna LRT, dikenali @achickenperson, menunjukkan orang ramai bersesak-sesak menunggu ketibaan tren yang seterusnya, pada waktu kemuncak sekitar pukul 8 pagi tadi.
“Baru sehari LRT ok, dari Gombak sampai Jelatek semua kena turun, dan kekerapan tren pula adalah setiap 5 minit,” kata salah seorang pengguna LRT juga, dikenali @faizalghazaly.
Berikutan masalah teknikal di stesen Jelatek itu, ia turut memberi kesan kepada pengguna di stesen berikutnya kerana perlu menunggu dalam jangka masa yang agak lama.
Sementara itu, ada juga pengguna yang ingin ke arah laluan Gombak, terpaksa menunggu ketibaan tren seterusnya dalam durasi yang lama iaitu 14 minit.
Rata-rata ciapan orang ramai terhadap @AskRapidKL mempersoalkan sama ada servis LRT telah benar-benar sudah baikpulih, kerana masalah itu menyukarkan kehidupan seharian mereka lagi-lagi untuk ke tempat kerja pada waktu puncak.
Terdahulu, Rapid Rail Sdn. Bhd. (Rapid Rail) mengumumkan bahawa keseluruhan jajaran perkhidmatan LRT Laluan Kelana Jaya dibuka semalam (Isnin) setelah 16 stesen di sepanjang laluan perjalanan itu ditutup selama tujuh hari. – KOSMO! ONLINE.