PETALING JAYA – Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) sentiasa membantu pelacur yang ingin kembali ke pangkal jalan serta mengubah kehidupan menjadi Muslim yang lebih baik.
Pengarahnya, Datuk Mohd. Ajib Ismail berkata, pihaknya juga bersedia untuk mengadakan pertemuan dengan mana-mana pihak bagi tujuan tersebut.
“Sebelum ini, beberapa siri pertemuan dengan badan bukan kerajaan (NGO) dan komuniti di lapangan khususnya di sekitar Chow Kit telah pun dilaksanakan.
“Ia melibatkan beberapa agensi kerajaan seperti Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP),” katanya kepada Kosmo!.
Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) pula sentiasa menyokong usaha yang dilakukan NGO dan bersedia memberi kerjasama kepada mereka.
Bahagian Keluarga, Sosial dan Komuniti Jakim memberitahu, pihaknya maklum kewujudan beberapa NGO yang menjaga kebajikan kumpulan terbabit serta kekangan sumber khususnya keperluan tempat perlindungan kepada komuniti tersebut.
“Jakim menyedari kewujudan komuniti yang terlibat dengan kegiatan seks bebas khususnya di sekitar ibu negara. Justeru, Jakim telah mengadakan pelbagai program untuk menyantuni kumpulan ini.
Berita berkaitan: 30 pelabur tua mahu taubat
“Pelbagai usaha telah, sedang dan akan terus dibuat agar masyarakat kembali kepada pegangan dan norma kehidupan Islam yang sebenar,” katanya.
Menurutnya, sebagai agensi penyelaras pengurusan hal ehwal Islam di peringkat Persekutuan, Jakim bertanggungjawab menyelaras program bimbingan kerohanian secara berterusan.
“Ia diadakan kepada pelbagai kumpulan komuniti termasuklah komuniti yang terlibat dengan kegiatan seks bebas.
“Usaha ini dilakukan untuk mengenal pasti komuniti yang memerlukan keperluan asas, bantuan kewangan dan lain-lain yang bersesuaian,” katanya.
Program Peduli Outreach antaranya melibatkan golongan gelandangan, pekerja seks dan penagih di sekitar Jalan Chow Kit yang melibatkan pelbagai agensi.
Jakim juga menyelaras Kelas Agama Komuniti Disayangi setiap hari Jumaat dan Ahad di Pusat Pembelajaran Komuniti Chow Kit bagi memastikan komuniti itu mendapatkan pengisian keagamaan dan pembinaan jati diri secara berterusan.