PETALING JAYA – Seorang penghantar makanan, Emy yang juga merupakan ibu tunggal kepada seorang anak menjadi bahan bualan ramai apabila dia baru-baru ini telah menerima hadiah sebuah motosikal Yamaha Y15 daripada pendakwah bebas, Ebit Lew.
Kisahnya semakin tular apabila secara tiba-tiba, muncul seorang lelaki mendakwa dirinya adalah suami kepada Emy dan hubungan mereka dalam proses berbaik sehingga meminta doa daripada orang ramai untuk kebahagiaan tersebut.
Terbaharu, menerusi InstaStory lelaki berkenaan yang dikenali sebagai Fakhrul Rosli memaklumkan dia dan Emy bukan lagi pasangan suami isteri selepas keputusan dikeluarkan oleh mahkamah hari ini.
“Berkenaan dengan status saya dan Emy, kami bukan lagi suami isteri setelah dapat keputusan daripada mahkamah sebentar tadi (15 November 2022),” katanya.
Sementara itu, Fakhrul juga dilihat memuat naik gambar memaparkan suasana berada di dalam Mahkamah Syariah Kuala Lumpur sementara menanti keputusan daripada hakim berhubung status penceraian mereka berdua.
Dalam hantaran seterusnya, Fakhrul turut membuat permohonan maaf berhubung kata-katanya yang menuduh Ebit Lew membuat konten ‘fitnah’ dengan memutar belitkan status isterinya (Emy).
Katanya, dia tidak sengaja meninggalkan komen sedemikian kerana ketika itu dirinya sedang dalam keadaan celaru dan terkejut.
“Saya mohon maaf atas apa yang saya katakan berkenaan tuduhan terhadap Ustaz Ebit Lew hanya membuat konten sahaja adalah tidak benar dan tidak sengaja sama sekali.
“Saya sendiri pun tidak tahu dan merendah diri memohon maaf atas semua kesilapan saya,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE