fbpx

Ganti Ernie, Wani Kayrie minta peminat henti kecam

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
JELAS Wani Kayrie, pemilihan dia dan Ahmad Syafiq (kiri) sebagai pengganti Ernie Zakri serta Hafiz Suip bagi menyanyikan lagu Berakhirlah Pencarianku dibuat oleh pengurusan.

PETALING JAYA – Penyanyi Wani Kayrie meminta peminat Ernie Zakri dan Hafiz Suip berhenti mengecam dirinya gara-gara menggantikan mereka bagi menyanyikan lagu Berakhirlah Pencarianku pada Separuh Akhir Muzik-Muzik Ke-37 (SFMM37).

Wani, 22, berkata, dia hanya menjalankan tanggungjawab yang diamanahkan pihak pengurusan Rocket Fuel dan label Nova Music Sdn. Bhd.

“Saya diberitahu seminggu sebelum sidang media untuk jadi pengganti. Saya tidak berani tanya lebih-lebih kerana setiap orang ada privasi mereka.

“Saya baca semua komen dan tidak mahu terlalu memikirkan hal itu kerana orang luar tidak tahu apa sebenarnya yang berlaku.

“Saya kasihan sebab komposer Ikhwan Fatanna pun kena serang. Bagi saya tidak elok netizen salahkan kami kerana keputusan itu dibuat pihak pengurusan dan label,” ujarnya kepada Kosmo! Online.

Terdahulu, Ernie mengesahkan tidak akan menyanyikan lagu Berakhirlah Pencarianku di pentas SFMM37 selepas dimaklumkan pihak pengurusan.

Lagu ciptaan bersama Wan Saleh dan lirik Datuk A. Aida tersebut akan dinyanyikan oleh Wani Kayrie dan Ahmad Syafiq pada SFMM37 yang bakal berlangsung pada 25 dan 26 November ini.

Keputusan tersebut sekali gus membuatkan ramai peminat Ernie dan Hafiz berasa kecewa kerana tidak dapat menyaksikan persembahan duo itu di pentas SFMM37 sedangkan lagu berkenaan layak bertanding disebabkan undian mereka.

Dalam pada itu, Wani tidak menafikan berdepan sedikit tertekan dalam membuat persiapan terutama sekali jangkaan tinggi peminat terhadap persembahannya.

“Boleh kata ya (tertekan) dan sejak awal buat keputusan menggalas tanggungjawab ini saya tahu setiap risiko yang saya akan hadap.

“Beberapa hari ini saya baca semua komen yang diberikan demi mengambil tahu apa yang peminat Ernie dan Hafiz harapkan untuk lagu ini,” ujarnya.

Bagaimanapun, Wani juga berharap dapat melakukan yang terbaik dan menyampaikan lagu tersebut dengan cara tersendiri.

“Saya akan buat yang terbaik dan tidak akan cuba meniru cara Ernie atau nak jadi macam dia.

“Saya ada bertemu kak Ernie dan abang Ikhwan untuk tanya pendapat mereka dalam menyanyikan lagu berkenaan. Abang Ikhwan yakin saya boleh buat yang terbaik,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI