Prof. Madya Dr. Mohd. Yusof Saari
Bank Negara Malaysia (BNM) pada 11 November 2022 baru-baru ini mengumumkan prestasi ekonomi Malaysia pada suku ketiga 2022 (Q3-2022).
Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) yang merupakan penunjuk utama prestasi ekonomi menunjukkan ekonomi pada Q3-2022 berkembang sebanyak dua digit iaitu 14.2 peratus berbanding pada sukuan sama tahun 2021.
Untuk rekod, pertumbuhan KDNK pada Q3-2022 adalah lebih tinggi daripada pertumbuhan pada Q2-2022 dan Q1-2022 masing-masing mencatatkan 8.9 peratus dan 4.8 peratus.
Walaupun pertumbuhan KDNK dua digit pada Q3-2022 dipengaruhi oleh asas nilai yang rendah pada Q3-2021, pertumbuhan ini didorong oleh permintaan domestik yang kukuh terutamanya disokong oleh penambahbaikan dalam pasaran buruh dan penjanaan pendapatan dan pengembangan dalam permintaan luar (eksport) yang disokong oleh permintaan kukuh untuk produk elektrik dan elektronik.
Selain itu, sokongan dasar yang berterusan oleh kerajaan terutama dalam mendepani situasi ketidaktentuan ekonomi global turut memberi impak kepada pertumbuhan ekonomi.
Kestabilan politik adalah penentu utama lonjakan pertumbuhan ekonomi yang berterusan sejak awal 2022.
Sebelum ini, kita telah lihat bagaimana ketidakstabilan politik menyebabkan gangguan ketara kepada corak pertumbuhan ekonomi Malaysia sepanjang tempoh 2018 hingga 2022.
Selepas Pilihan Raya Umum Ke-14, Malaysia mengalami pertukaran tiga Perdana Menteri daripada parti politik berbeza iaitu Tun Dr. Mahathir Mohamad semasa pemerintahan Pakatan Harapan (PH) pada Mei 2018 hingga Februari 2020, Tan Sri Muhyiddin Yassin semasa pemerintahan Perikatan Nasional (PN) pada Mac 2020 hingga Ogos 2021 dan Datuk Seri Ismail Sabri mewakili pemerintahan Barisan Nasional (BN) sejak Ogos 2021 hingga sekarang.
Tempoh pemerintahan tiga-tiga kepimpinan itu mempengaruhi turun naik pertumbuhan ekonomi.
Rajah 1 menunjukkan KDNK Malaysia yang terjejas akibat krisis politik, ekonomi dan kesihatan telah mendorong kepada kejatuhan besar dalam KDNK.
Tempoh bermula pada suku pertama 2020 yang mana Covid-19 mula merebak ke seluruh dunia juga merupakan masa berakhirnya tempoh pemerintahan PH. PN mengambil alih sebagai parti pemerintah mulai pada Mac 2020.
Dalam tempoh tersebut, penurunan besar KDNK yang tidak pernah berlaku sebelum ini disebabkan oleh langkah-langkah penutupan ekonomi yang diambil pada ketika itu.
BN yang diterajui oleh Ismail Sabri mengambil alih pentadbiran pada suku ketiga 2022 dan kita dapat melihat KDNK telah kembali pulih dan menunjukkan peningkatan semula.
Dengan mengira perbezaan antara nilai KDNK yang diramal dan sebenar dalam Rajah 1, kami mendapati bahawa semasa pemerintahan PN, jurang KDNK semakin melebar manakala semasa pemerintahan BN jurang KDNK semakin mengecil.
Ini menunjukkan keberkesanan dasar dan usaha BN untuk membawa ekonomi Malaysia kembali ke landasan.
Walaupun pertumbuhan kembali menghampiri paras trajektori sebelum krisis, tahap kehilangan KDNK potensi dianggarkan mengalami sebanyak RM365 bilion semasa PH dan RM198 bilion semasa PN.
Apabila KDNK kembali pulih dan meningkat di bawah BN, nilai kehilangan KDNK potensi semakin menguncup.
Kerajaan sedar bahawa pertumbuhan ekonomi yang tinggi pada suku ketiga 2022 mungkin tidak dapat diterjemahkan sepenuhnya kepada taraf hidup yang lebih baik bagi sesetengah segmen Keluarga Malaysia.
Kedudukan inflasi yang meningkat melepasi empat peratus setiap bulan sejak April 2022 menyumbang kepada tekanan kos sara hidup.
Kenaikan inflasi didorong terutamanya oleh faktor luaran terutamanya pemulihan yang perlahan daripada kesan perang Rusia-Ukraine, dasar domestik kerajaan China, tekanan inflasi yang semakin mendalam dan krisis kos sara hidup bagi rakan dagangan utama.
Dalam menangani kenaikan kos sara hidup, kerajaan telah mengambil beberapa langkah utama untuk menstabilkan harga makanan dengan memberi subsidi kepada pengeluar dan mengekalkan harga bahan api dengan perbelanjaan subsidi kerajaan.
Prof. Madya Dr. Mohd. Yusof Saari ialah Ketua Ekonomi Pusat Kajian Pasaran Buruh Masa Hadapan (EU-ERA)