fbpx

Demam Scarlet ancam Britain

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Keadaan itu membuatkan kulit pesakit berasa seperti kertas pasir. - NHS

LONDON – Pakar-pakar kesihatan memberi amaran mengenai sejenis penyakit berjangkit yang menjadi pandemik ketika era pemerintahan Ratu Victoria yang kini merebak di seluruh Britain, lapor akhbar Daily Star, semalam.

Penyakit demam Scarlet boleh dijangkiti oleh sesiapa sahaja, namun kebanyakannya memberi kesan ke atas kanak-kanak berusia bawah 10 tahun, lapor akhbar Mirror UK.

Menurut kerajaan Britain, wabak terkini mungkin berpunca daripada langkah-langkah sekatan yang dilaksanakan semasa pandemik Covid-19 telah ditarik balik.

Simptom demam Scarlet tidak berbeza dengan gejala selesema di mana badan pesakit mungkin dipenuhi ruam, mengalami sakit tetak, suhu badan tinggi, sakit kepala dan kelenjar bengkak di leher.

Ruam tersebut kebiasaannya muncul dalam tempoh setengah hari hingga dua hari selepas gejala awal ditemui. Simptom penyakit tersebut adalah sama antara golongan muda dan dewasa.

Ibu bapa selain itu turut disaran untuk mengesan benjolan kecil yang boleh membuatkan kulit anak-anak mereka berasa seperti kertas pasir. Ia boleh muncul pada perut dan dada pesakit.

Gejala lain yang perlu diberi perhatian adalah ‘lidah strawberi’ yang berlaku apabila salutan putih pada lidah bertukar kepada warna merah dan kasar. 

“Ia agak jarang berlaku di Britain sejak beberapa dekad lalu tetapi kes telah meningkat. Ia adalah penyakit berjangkit yang boleh membuatkan kanak-kanak berasa sakit teruk,” kata Pengarah Perubatan dan Pengamal Am (GP) di Pall Mall Medical, Dr. Chun Tang.

Sementara itu, pakar dalam perkhidmatan GP untuk pesakit bawah 18 tahun, Dr. Naveen Puri berkata, demam Scarlet merupakan penyakit yang berjangkit melalui batuk, bersin atau kontak rapat serta berkongsi tuala mandi, pakaian, cadar atau kutleri dengan pesakit.

“Jika anak anda mengalami demam Scarlet, jauhkan mereka dari sekolah dan orang lain,” katanya. – Agensi

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI