fbpx

50,769 warga asing disekat masuk Malaysia sejak April lalu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Khairul Dzaimee (dua kanan) melihat kemudahan autogate untuk warga asing memasuki Malaysia yang beroperasi secara rasmi bermula hari ini di KLIA.- Foto FAISOL MUSTAFA

SEPANG – Seramai 50,769 warga asing telah disekat masuk ke Malaysia atas pelbagai kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63, sejak sempadan negara dibuka 1 April lalu.

Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Seri Khairul Dzaimee Daud berkata, jumlah itu adalah sebahagian kecil daripada jumlah ketibaan warga asing di semua pintu masuk negara iaitu seramai 10.4 juta orang.

Katanya, jumlah yang ditolak itu melibatkan warga asing yang telah disenarai hitam melibatkan warga India, Bangladesh, Pakistan dan Indonesia.

“Kami mendapati kesemua mereka ini adalah yang pernah terlibat dengan Program Rekalibrasi Tenaga Kerja yang melibatkan penghantaran pulang warga asing tanpa izin secara sukarela tahun lalu.

“Ada dalam kalangan mereka cuba masuk ke Malaysia sebagai pelancong tetapi selepas disiasat secara terperinci, mereka tidak menepati syarat ditetapkan seperti tidak tahu tempat tinggal dan tidak mempunyai duit yang cukup untuk melancong,” katanya, hari ini.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas melancarkan kemudahan pintu automatik untuk warga asing yang memegang pas jangka panjang di Balai Ketibaan Antarabangsa, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) yang bermula hari ini.

Mengulas mengenai kemudahan pintu automatik yang terbaharu, Khairul Dzaimee berkata, ia akan memberikan manfaat kepada lebih 1.8 juta pemegang Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS) dan pemegang Pas Lawatan Jangka Panjang pelbagai kategori di laluan keluar masuk KLIA dan KLIA2.

Dalam perkembangan lain Khairul Dzaimee berkata, seramai 10.4 juta kemasukan telah direkodkan melalui pelbagai pintu utama sejak April lalu di mana lima negara tertinggi adalah dari Singapura, Indonesia, Thailand, India dan China yang mana 60 peratus daripada jumlah ini merupakan warga Singapura.

Katanya, rakyat Singapura yang berulang-alik dari Johor ke republik itu dianggarkan antara 7,000 hingga 10,000 orang sehari melibatkan pelbagai sebab seperti beli-belah dan berniaga.

“Melihat kepada jumlah itu, kami sedang mengkaji untuk perluasan kemudahan pintu automatik kepada rakyat Singapura di Kompleks Imigresen, Kastam dan Kuarantin (ICQ), Bangunan Sultan Iskandar (BSI) dan kajian serta perbincangan sedang dilaksanakan.

“Pelaksanaan ini akan mengambil masa sebulan kerana ada beberapa perubahan kecil untuk membolehkan cip pasport mereka dibaca sistem Imigresen,” katanya.

Khairul Dzaimee berkata, sekiranya ia berjaya diselesaikan, kemudahan ini akan dapat dilaksanakan kepada warga Singapura menjelang hujung tahun ini.

“Kita juga akan mengkaji secara berfasa bagi pintu keluar masuk di Thailand dan Brunei tetapi akan melalui beberapa kajian serta penilaian risiko keselamatan,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI