THE HAGUE, Belanda – Panel hakim Belanda akan membuat keputusan Khamis ini berhubung perbicaraan empat lelaki yang dituduh menembak jatuh penerbangan Malaysia Airlines, MH17 di Ukraine pada 2014.
Perkembangan itu berlaku ketika ketegangan semakin memuncak berikutan pencerobohan Russia ke atas Ukraine.
Semua 298 penumpang dan kru terbunuh apabila Boeing 777 yang berlepas dari Amsterdam menuju ke Kuala Lumpur itu terkena tembakan di timur Ukraine oleh apa yang dikatakan pendakwa raya sebagai peluru berpandu BUK yang dibekalkan Russia.
Suspek yang terdiri daripada tiga rakyat Russia iaitu Igor Girkin, Sergei Dubinsky, Oleg Pulatov dan saeorang warga Ukraine, Leonid Kharchenko berdepan hukuman penjara seumur hidup sekiranya didapati bersalah atas tuduhan membunuh dan menyebabkan MH17 terhempas.
Bagaimanapun, keempat-empat suspek masih bebas dan enggan menghadiri perbicaraan selama dua tahun setengah di Belanda susulan siasatan antarabangsa.
Lapan tahun selepas tragedi berlaku, rantau di mana MH17 terhempas kini merupakan antara medan tempur utama dalam perang Russia ke atas Ukraine yang kini berlarutan hampir sembilan bulan.
Waris mangsa akan melakukan perjalanan dari seluruh dunia ke mahkamah kawalan ketat dekat Lapangan Terbang Schiphol di mana pesawat malang itu berlepas, untuk mendengar keputusan panel tiga hakim bermula pukul 8.30 malam (waktu Malaysia) Khamis ini.
“Sekiranya mereka bersalah, masyarakat antarabangsa patut memburu mereka,” kata Evert van Zijtveld yang kehilangan anak perempuan, Frederique(19), anak lelakinya Robert-Jan(18) dan ibu bapa mentuanya.
“Saya tidak dapat memaafkan mereka,” tambahnya. – AFP