PETALING JAYA – Selebriti jelita Datin Lisa Surihani bangga melihat aksi Tomok pada konsert suku akhir Gegar Vaganza musim kesembilan (GV9) semalam biarpun persembahan penyanyi itu menerima komen negatif daripada juri.
Lisa, 36, yang pernah bergandingan bersama Tomok dalam filem Istanbul Akan Datang mengakui dia sentiasa menanti kreativiti yang akan ditonjolkan penyanyi itu meskipun menerima pelbagai bentuk cabaran setiap minggu.
“Saya tumpang gembira dan kagum melihat dia melakukan persembahan setiap minggu.
“Malah, sering menanti untuk menonton kreativiti menarik yang akan ditonjolkan walau diberikan apa jua bentuk cabaran,” katanya dalam satu entri Instagram.
Pasa masa sama, pemilik nama penuh Lisa Surihani Mohamed itu juga memuji Tomok yang sentiasa bekerja keras untuk mempamerkan persembahan terbaik setiap minggu.
“Tomok memang sangat merendah diri dan tidak boleh menafikan dia mempunyai keberanian yang tinggi untuk menyahut cabaran.
“Selain itu, dia memang bekerja keras, tidak berputus asa malah mempunyai kualiti pendirian yang dihormati,” ujar isteri kepada Datuk Yusry Abd Halim itu.
Sementara itu, Tomok juga sempat meninggalkan komen teruja dapat berjumpa dengan Lisa usai menyelesaikan persembahan semalam dan meminta mendoakannya serta peserta lain yang masih berentap di pentas GV9.
Terdahulu, Tomok atau nama sebenarnya Shah Indrawan Ismail, 38, yang mendendangkan lagu Awas milik kumpulan KRU pada minggu suku akhir GV9 malam tadi menerima komen negatif daripada barisan juri.
Tidak cukup dengan itu, rakan seperjuangan, Bob Yusof turut menerima kecaman kerana memilih lagu Awas untuknya sehingga ada yang mendakwa dia sengaja ingin merosakkan persembahan Tomok. – KOSMO! ONLINE