fbpx

Telan air liur, tiket konsert Blackpink cecah RM2k

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
PENGUMUMAN harga tiket konsert Blackpink di Kuala Lumpur pada Mac 2023 menurut peminat sangat mahal dan tidak berbaloi dengan pakej yang ditawarkan penganjur.

PETALING JAYA – Pengesahan kehadiran kumpulan terkenal Korea Selatan, Blackpink ke negara ini sempena konsert jelajah dunia pada Mac tahun depan cukup mengujakan peminat.

Bagaimanapun, pengumuman harga tiket konsert kumpulan K-pop wanita paling berpengaruh itu yang mencecah sehingga RM2,000 menghampakan ramai peminat.

Isu berkenaan mula menjadi bualan peminat selepas penganjur, Live Nation mengumumkan harga tiket dan peta tempat duduk penonton menerusi Twitter kelmarin.

Harga tiket yang tertera pada poster dijual bermula serendah RM388 hingga paling mahal iaitu RM1,888 untuk pakej VIP soundcheck.

Rata-rata peminat menyuarakan rasa ketidakpuasan hati kerana harga yang dijual sangat mahal bahkan tidak berbaloi dengan pakej VIP yang ditawarkan penganjur.

Tidak kurang juga yang membandingkan harga tiket konsert kumpulan itu dijual jauh lebih murah di negara jiran lain seperti Thailand dan Indonesia.

“Tolong turunkan harga atau beri banyak lagi kelebihan atau tutup saja bahagian soundcheck. Harga yang langsung tak berbaloi.

“Negara lain dapat banyak kelebihan. Kami tak minta lebih, cuma nak pulangan berbaloi untuk harga yang kami bayar,” luah seorang peminat.

Bukan sekadar harga tiket yang mengecewakan peminat, bahkan kedudukan tempat duduk penonton juga mengundang rasa tidak puas hati ramai.

Dalam peta yang dikongsikan, jelas kelihatan jarak tempat duduk yang berharga murah (RM388 hingga RM788) diletakkan sangat jauh dari pentas.

Keadaan tersebut mengingatkan peminat tentang situasi sama yang berlaku ketika penganjuran konsert penyanyi antarabangsa, Billie Eilish pada Ogos lalu.

“Kalau lokasinya di Axiata Arena boleh tahanlah. Tapi di tengah-tengah padang bola, nampak semut sajalah macam ini,” kata peminat lain.

Blackpink yang dianggotai empat ahli iaitu Lisa, Jennie, Jisoo dan Rosé dijadualkan mengadakan konsert di Kuala Lumpur bertempat di Stadium Nasional Bukit Jalil pada 4 Mac 2023.

Untuk info, Blackpink memulakan konsert jelajah dunia mereka bermula pada 15 Oktober lalu di Seoul, Korea Selatan sebelum bergerak ke negara Barat bermula di Dallas, Amerika Utara pada 25 Oktober diikuti Houston, Atlanta, Hamilton, Chicago dan Newark.

Konsert jelajah kumpulan itu akan memasuki negara Asia bermula dengan persembahan di Bangkok, Thailand pada 7 Januari tahun depan. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI