fbpx

TDC aplikasikan teknologi blockchain pertingkat sistem operasi syarikat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Mohd. Hafizuddin Hiew menunjukkan produk keluaran syarikat di Kuala Lumpur baru-baru ini.

TDC Holdings Sdn. Bhd. (TDC) syarikat Muslim yang mengeluarkan produk penjagaan kesihatan dan beribu pejabat di Cheras, Kuala Lumpur telah diasaskan pada tahun 2016 dengan memiliki nilai unik dari segi tumpuan syarikat dalam kajian dan pembangunan serta aktif meneroka era teknologi maklumat (IT) seiring perubahan gaya hidup masyarakat kini.

Inisiatif dan idea daripada pengasasnya, Mohd. Hafizuddin Hiew Abdullah nyata terbukti apabila berjaya melonjakkan imej syarikat tempatan kerana menjadi antara perintis yang meneroka sistem jualan, tempahan, operasi, mesyuarat dan pengurusan dipertingkatkan bersandarkan kepada sistem online sebelum pandemik Covid-19 menguji negara.

Semasa tempoh mencabar itu, sistem IT dan online sudah pun berjalan lancar sehingga membolehkan jualan meningkat berkali ganda sekali gus menjadikan TDC dikenali di pasaran domestik dan global.

Menerusi temu bual secara e-mel, usahawan ini telah mengaplikasikan teknologi blockchain dalam sistem pemprosesan dana dan pemadanan data sehingga membolehkan urusan pengurusan menjadi lebih cekap dan profesional.

Selain memfokuskan usaha berdepan dengan persekitaran ekonomi yang mencabar tahun hadapan, TDC sedang membuat perincian untuk menyenaraikan syarikat di Bursa Malaysia dalam tempoh lima tahun akan datang.

Kosmo!: Apakah sistem teknologi maklumat terbaharu yang sedang dibangunkan dan bagaimana ia dapat me­ningkatkan daya saing syarikat menuju era digitalisasi masa depan?
Mohd. Hafizuddin Hiew: Kita ­mengaplikasikan sedikit teknologi blockchain dalam pelaksanaan sistem dan pemprosesan data.

Melalui sistem blockchain, analisis dan pemadanan (matching) antara data-data akan jadi lebih efektif terutamanya melibatkan pangkalan data yang menjadi semakin besar dan kiraan dalam sistem yang semakin rumit. Selain itu, kita turut menerapkan pelbagai aplikasi untuk tujuan berbeza melalui Application Programming Interface (API) yang berbeza.

Berapakah pelaburan yang diperuntukkan dan apakah manfaat sistem tersebut kepada syarikat dan juga kepada pengedar?
Setiap tahun, TDC memperuntukkan antara RM1 juta hingga RM2 juta untuk tujuan penyelenggaraan, penambahbaikan, peningkatan dan pembangunan sistem tersebut, dan sehingga hari ini ia masih dalam proses penaiktarafan.

Syarikat dilihat agak ke hadapan berbanding syarikat pengeluar produk penjagaan kesihatan dalam aspek inovasi serta ka­jian dan pembangunan (R&D), berapakah pelaburan yang diperuntukkan untuk tahun ini dan tahun depan?
Bahagian penyelidikan dan pembangunan produk diletakkan sebagai salah satu agenda penting untuk TDC dan ia adalah antara kategori perbelanjaan syarikat yang mencecah jutaan ringgit setiap tahun. Kualiti produk kita sentiasa diuji melalui kajian makmal dalam dan di luar negara.

Kami juga sentiasa membina hubungan kerjasama penyelidikan bersama institusi penyelidikan makanan dan per­ubatan terkemuka antaranya Universiti Putra Malaysia (UPM), Universiti Malaysia Sabah (UMS) dan Universiti Malaysia Kelantan (UMK). Juga, pensijilan seperti ISO 9001 berkaitan pengurusan pemakanan, pengurusan risiko, pengiktirafan dari segi pematuhan syariah produk.

Kami yakin dan percaya, aspek penjagaan kualiti produk dan operasi adalah faktor penting dalam kemajuan sesebuah syarikat.

Apakah R&D terbaharu tersebut dan apakah produk terbaharu syarikat?
Produk terbaharu syarikat adalah NectarMax iaitu satu produk yang menggunakan bahan mentah terdiri daripada madu asli yang diimport terus daripada Pusat Penyelidikan dan Kawalan Kualiti Madu terbesar di dunia yang berada di Istanbul, Turkiye.

Dengan pengalaman dan kekuatan 43 tahun Pusat Penyelidikan dan Kawalan Kua­liti Madu Tulen tersebut, produk NectarMax ini semestinya terjamin kualiti, ketulenan dan kha­siatnya.

Bagaimana perkembangan keputusan kewangan syarikat pada tahun ini?
2022 adalah tahun yang sedikit mencabar dengan kos harga barangan meningkat dan kelemahan mata wang negara.

Tidak dinafikan, ramai pengedar kita terjejas jualan sebab kuasa beli pengguna sudah menurun, namun pada masa yang sama, ada juga pengedar yang ­mengalami peningkatan jualan hasil daripada penambahan pelanggan baharu.

Maka, jika ingin jualan terus kukuh, kita harus terus mendapatkan pelanggan baharu. Kita menyasarkan jualan tahun depan akan melonjak sebab kita kini dalam fasa mengeksport produk ke pasaran Indonesia mulai tahun depan.

Selepas pandemik, apakah pula cabaran yang dilihat sebagai kekangan baharu buat syarikat pada tahun 2023 dan tahun seterusnya, bagaimana TDC akan mengatasi cabaran tersebut?
Sememangnya ekonomi akan terus merudum seperti mana sejarah tahun 1988 dan 2008, malah ia akan berterusan untuk sekian tempoh.

Banyak perusahaan kecil dan sederhana (PKS) akan terjejas dan bagi syarikat yang berjaya bertahan, maka ia akan mengalami lonjakan yang tinggi kerana persaingan sudah dikurangkan.

Fokus TDC untuk tahun depan adalah terus bertahan dan dalam masa yang sama mengintai peluang untuk melakukan lonjakan yang lebih tinggi pada tahun-tahun akan datang.

Antara pe­rancangan terpenting bagi tahun 2023 adalah persiapan TDC ke arah pelaksanaan Tawaran Awam Awal (IPO) dalam tempoh lima tahun akan datang atau paling lewat adalah pada tahun 2030. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI