JOHOR BAHRU – Polis Johor menahan 14 individu selepas disyaki terlibat dalam aktiviti sindiket haram scammer dalam satu operasi di dua premis kediaman di Taman Mount Austin, di sini, Jumaat lalu.
Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, suspek terdiri daripada 10 lelaki tempatan, seorang lelaki warga asing dan tiga wanita tempatan berusia antara 17 hingga 31 tahun.
Menurutnya, rumah teres terbabit dijadikan sebagai pusat panggilan palsu yang menawarkan pekerjaan di negara jiran secara dalam talian.
“Kesemua yang ditahan adalah orang awam yang direkrut sindiket dengan tawaran gaji antara RM2,500 hingga RM4,000 dengan jawatan Pegawai Sumber Manusia, namun hanya sempat menerima sebulan gaji.
“Dalam operasi berkenaan, polis turut merampas 18 komputer riba, 32 telefon bimbit pelbagai jenama, dua komputer dan satu papan putih yang digunakan sindiket untuk menjalankan penipuan berkenaan,” katanya dalam sidang akhbar yang diadakan di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor, di sini hari ini.
Tambah Kamarul Zaman, modus operandi digunakan sindiket itu adalah dengan menyasarkan mangsa dari luar negara dengan jawatan sebagai ejen pelancongan, dengan menawarkan iklan melalui media sosial.
“Sindiket ini menggunakan talian telefon yang didaftarkan di luar negara, dimana atas kerjasama dijalankan polis Johor dengan polis negara berkenaan, beberapa tangkapan juga telah dibuat di negara terbabit.
“Kes ini akan disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan dan juga Seksyen 120B(2),” jelasnya.
Sehubungan itu, Kamarul Zaman turut menasihati orang awam agar lebih berhati-hati dengan sebarang tawaran pekerjaan yang menjanjikan pulangan dan komisen lumayan dalam masa singkat. – KOSMO! ONLINE