fbpx

Sakit tapi perlu bekerja, Asheed tak nak orang meluat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
ASHEED tidak kecewa tersingkir sebelum final GV9, sebalik bangga dengan kemampuan sendiri mampu bertahan sehingga ke minggu suku akhir.

PETALING JAYA – Selama 20 tahun menanggung derita akibat penyakit gout, penyanyi Asheed Def Gab C enggan menjadikan masalah kesihatan yang dihadapi sebagai halangan untuk kembali aktif dalam bidang nyanyian.

Asheed atau nama lengkapnya Mohd. Ashid Ahmad, 49,  berkata, walaupun terpaksa menahan kesakitan, dia masih perlu bekerja dan enggan mengharapkan belas kasihan daripada orang lain kerana bimbang dengan persepsi buruk masyarakat.

“Walaupun saya sakit, saya masih kena bekerja. Saya pun tidak mahu orang lain meluat. Selagi saya mampu, saya akan buat.

“Saya tidak mahu jadikan sakit yang saya alami ini sebagai alasan untuk tidak bekerja. Lagi pun saya tiada masalah untuk membuat persembahan pentas,” katanya kepada Kosmo! Online.

Bercakap lebih lanjut tentang masalah gout yang dialaminya, Asheed mengakui sudah menderita menghidap penyakit tersebut sejak kelahiran album kedua Def Gab C berjudul Skala yang mengandungi lagu hit Cinta Sakti pada 1999 lagi.

Dalam sebulan, Asheed berkata pasti akan diserang gout dan terlantar menanggung kesakitan sekurang-kurangnya empat hari tanpa boleh berbuat apa-apa.

“Saya dikesan menghidap gout sejak album kedua berjudul Skala, sekitar 20 tahun lalu. Kesihatan saya bukan baik sangat. Dalam sebulan sekurang-kurangnya saya akan terlantar selama empat hari.

“Tak ramai yang tahu tentang masalah kesihatan saya. Hanya rakan-rakan terdekat sahaja. Bila saya masuk GV baru orang tahu saya menanggung derita gout,” ujar bapa kepada empat orang cahata mata itu.

Memanjat rasa syukur, Asheed berkata masalah gout yang dihidapinya hari ini semakin menunjukkan perubahan baik apabila kandungan asid urik dalam tubuhnya berada pada paras normal.

“Alhamdulillah ada banyak perubahan. Cuma saya masih lagi berpantang makan. Makanan laut memang saya tak makan langsung, takut,” terangnya.

Menyentuh tentang penyingkirannya pada konsert suku akhir GV9 malam tadi, jujurnya Asheed langsung tidak berasa kecewa, malah berbangga dengan kemampuan sendiri apabila mampu bertahan sehingga minggu kesembilan.

“Sejujurnya saya tidak kecewa sebab apa yang saya mahukan, saya sudah dapat. Saya sendiri tidak percaya mampu bertahan sehingga peringkat suku akhir.

“Saya sertai GV9 sebab saya mahu mendengar komen-komen daripada juri. Selama ini saya tidak pernah menerima komen daripada sesiapa pun. Itulah yang saya mahukan dan saya berpuas hati,” jelasnya.

Disoal tentang perancangannya selepas tersingkir, Asheed yang ditemui di Auditorium MBSA Shah Alam, malam tadi berkata, dia mahu kembali aktif dalam bidang seni dan telah pun memiliki sebuah single baharu yang bakal dilancarkan kelak.

“Perancangan selepas ini saya akan kembali aktif. Saya pun sudah siapkan sebuah single dan menunggu proses untuk siapkan video muzik (MV) dalam bentuk animasi.

“Saya akan fokus dahulu kerjaya nyanyian secara solo, kemudian barulah saya akan aktif semula dengan kumpulan Def Gab C,” katanya.

Pada konsert suku akhir GV9 malam tadi, Asheed yang menyampaikan lagu Lena Diulit Intan dendangan asal Wings hanya memperoleh markah sebanyak 58.60 peratus sekali gus gagal untuk mara ke peringkat separuh akhir pada minggu hadapan. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI