KUALA LUMPUR – Tiada isu besar dan nasional yang ingin dibangkitkan dari parti lawan menjadi punca serangan individu kepada calon mula digunakan.
Namun bagi calon Barisan Nasional (BN) Lembah Pantai, Datuk Ramlan Askolani berkata, serangan peribadi tersebut langsung tidak mematahkan semangatnya bagi membela rakyat di parlimen tersebut.
“Ada yang kata saya belajar tidak tinggi, tidak pandai berbahasa Inggeris. Saya sebenarnya ada sarjana dalam bidang pengurusan perniagaan walaupun saya aktif bersukan sebelum ini.
“Dari segi berbahasa Inggeris pula, kalau kita pandai bercakap Inggeris sekalipun kalau kerja tidak jalan tak ada gunanya juga,” jelasnya kepada Kosmo! hari ini.
Tambahnya lagi, dengan serangan peribadi itu jugalah ramai pengundi termasuk pimpinan tertinggi parti lawan sebelum ini datang menyokong Barisan Nasional.
“Bukan apa, lagi mereka serang peribadi saya, makin ramai yang datang untuk bersama saya sebab mereka kenal keperibadian dan gerak kerja saya selama ini.
“Saya tetap teruskan legasi BN Lembah Pantai selama ini, walaupun kalah dalam PRU tetapi kami tetap bekerja untuk rakyat Lembah Pantai,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE.