KLANG – Calon Parlimen Kapar, Dr. Daroyah Alwi kesal bahan kempennya termasuk poster gergasi yang diletak di sekitar Jalan Dato Tahir Manan di sini dirosakkan pihak tidak bertanggungjawab.
Dr. Daroyah yang mewakili Parti Bangsa Malaysia (PBM) berkata, perkara seperti itu tidak sepatutnya berlaku sepanjang tempoh berkempen pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
“Saya tidak menjangkakan hal seperti ini berlaku kerana kita sudah memasuki era serba moden. Saya amat kecewa dengan apa yang berlaku,” katanya ketika ditemui di Jalan Dato’ Tahir Manan, di sini, hari ini.
Dr. Daroyah memaklumkan bahawa beliau telah membuat laporan polis berhubung kejadian tersebut di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Utara dan berharap individu yang melakukan tindakan khianat dapat ditahan.
“Kita sepatutnya meraikan amalan demokrasi di negara ini, iaitu membolehkan mana-mana pihak bertanding dalam pilihan raya umum.
“Saya tidak mahu menuduh mana-mana pihak namun berharap kejadian seperti ini tidak akan berlaku lagi sepanjang tempoh kempen yang berbaki beberapa hari lagi,” tegasnya. – KOSMO! ONLINE