JOHOR BAHRU – Seramai 22,689 pegawai dan anggota polis yang bertugas di seluruh negeri Johor telah melaksanakan tanggungjawab mereka membuang undi dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) esok.
Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, jumlah itu membabitkan anggota polis, tentera dan juga pasangan masing-masing di 63 pusat mengundi dan 86 saluran yang telah disediakan.
“Bagi memastikan kelancaran proses tersebut, seramai 3,234 pegawai dan anggota akan bertugas menjalankan pemantauan dan penguatkuasaan di seluruh Johor.
“Semalam, pegawai dan anggota polis Johor telah melaksanakan tanggungjawab mereka dengan mengundi secara pos,”katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor, hari ini.
Sementara itu, Kamarul Zaman berkata, pihaknya menahan seramai lima individu yang dikaitkan dengan pelbagai kesalahan berkaitan kempen PRU15 di seluruh negeri ini sejak hari penamaan calon pada 5 November lalu.
Katanya, kesemua mereka yang ditahan berusia antara 30 hingga 57 tahun dan telah dikenakan tindakan mengikut undang-undang.
Menurut beliau, sejak 5 November hingga semalam, pihaknya telah menerima 70 laporan polis dengan sejumlah 17 kertas siasatan telah dibuka.
Tambah Kamarul Zaman, dalam tempoh sama, pihaknya juga telah mengeluarkan 1,927 permit kepada calon-calon PRU15 di negeri ini untuk berkempen, dengan lima daripadanya ditolak.
“Penolakan tersebut dibuat setelah mengambil kira beberapa faktor termasuk aspek keselamatan, selepas penerangan diberikan kepada calon bertanding, mereka memahami dan tiada sebarang isu berbangkit timbul.
“Dalam pada itu, Polis Johor juga telah menubuhkan 81 pasukan Op Cantas Khas melibatkan seramai 81 pegawai dan 237 anggota untuk memantau kemungkinan berlakunya sebarang kekacauan sepanjang tempoh PRU15,” jelasnya.-KOSMO! ONLINE