PETALING JAYA – Seramai 224,828 pengundi awal bakal menunaikan tanggungjawab sebagai pemilih pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) dan Pilihan Raya Kecil (PRK) Bugaya yang akan diadakan di 578 Pusat Mengundi Awal esok.
Setiausaha Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Indera Ikmalrudin Ishak berkata, pengundi awal itu terdiri daripada 117,473 anggota tentera dan pasangan serta 107,355 orang polis serta pasangan Polis Pasukan Gerakan Am (PGA).
“Bagi tujuan itu, Pusat Mengundi Awal yang ditetapkan SPR akan dibuka bermula pukul 8 pagi hingga 5 petang. Bagaimanapun, terdapat beberapa Pusat Mengundi Awal yang akan ditutup lebih awal.
“SPR turut menyarankan kepada pengundi awal yang positif Covid- 19 untuk berhubung terus dengan pegawai kesihatan daerah bagi memudahkan urusan pengundian berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan tadi.
Katanya, proses pengundian awal turut disaksikan oleh ejen calon yang bertanding selain SPR akan menyiarkan proses pengundian secara live menerusi Facebook SPR di beberapa Pusat Mengundi Awal terpilih.
“Kertas-kertas undi awal tidak akan dikira pada hari pengundian awal dan kesemua peti undi akan disimpan di lokap-lokap balai polis untuk jagaan selamat.
“Kertas-kertas undi tersebut hanya akan dikira pada 19 November 2022 bermula pukul 4 petang di tempat pengiraan undi yang ditetapkan SPR serta disaksikan ejen-ejen calon masing-masing,” ujarnya.
Susulan itu, katanya, pengundi dinasihatkan membuat semakan maklumat pengundian melalui portal semakan di pautan https://mysprsemak.spr.gov.my atau hubungi Hotline SPR di talian 03-88927018 atau melalui aplikasi MySPR Semak. – KOSMO! ONLINE