PUTRAJAYA – Tarikh akhir pengurusan kes rayuan Datin Seri Rosmah Mansor terhadap sabitan dan hukuman penjara 10 tahun serta denda RM970 juta bagi kesalahan rasuah membabitkan projek solar hibrid, ditetapkan pada 19 Disember ini.
Timbalan Pendakwa Raya Poh Yih Tinn memberitahu wakil media, tarikh itu ditetapkan oleh Timbalan Pendaftar Mahkamah Rayuan Norkamilah Aziz ketika pengurusan kes hari ini.
Menurut Yin Tinn, pihak pendakwaan akan memohon supaya rayuan Rosmah terhadap keputusan Hakim Mahkamah Tinggi Mohamed Zaini Mazlan yang menolak permohonan untuk menarik diri daripada mendengar perbicaraan kes dan membuat keputusan mengenai kes solar tersebut didengar bersama dengan rayuan untuk mengetepikan sabitan dan hukuman yang dijatuhkan oleh hakim berkenaan.
Prosiding itu turut disertai peguam Datuk Jagjit Singh dan Datuk Akberdin Abdul Kader yang mewakili Rosmah.
Rosmah, 70, yang memfailkan petisyen rayuan pada 13 Oktober lalu mengemukakan 127 alasan, antaranya mendakwa keseluruhan keputusan Hakim Mohamed Zaini yang menjatuhkan hukuman terhadapnya adalah berat sebelah dan tidak berlandaskan pertimbangan yang betul.
Pada 1 September lalu, Hakim Mohamed Zaini mendapati Rosmah bersalah atas tiga pertuduhan rasuah berkaitan projek hibrid solar bernilai RM1.25 bilion untuk 369 sekolah luar bandar di Sarawak dan menjatuhkan hukuman penjara 10 tahun serta denda RM970 juta.
Mahkamah juga memerintahkan isteri bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak itu dipenjara 30 tahun jika gagal membayar denda itu.
Bagaimanapun, Mahkamah Tinggi membenarkan penangguhan pelaksanaan hukuman penjara dan denda sementara menunggu rayuannya di Mahkamah Rayuan.
Rosmah dituduh atas satu pertuduhan meminta RM187.5 juta dan dua pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM6.5 juta daripada bekas Pengarah Urusan Jepak Holdings Sdn Bhd Saidi Abang Samsudin. – KOSMO! ONLINE