KUALA TERENGGANU – Gara-gara menyalahguna kuasa meluluskan projek ternakan kambing biri-biri kepada syarikat anak, seorang bekas Pengurus Besar Pertubuhan Peladang Terengganu (PPNT) dihukum penjara lima tahun oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini.
Hakim Dazuki Ali turut menjatuhkan hukuman denda RM1.54 juta ke atas tertuduh, Che Sa’adon Che Yahya, 58, setelah pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes melampaui keraguan munasabah.
Berdasarkan pertuduhan pertama, tertuduh didakwa menggunakan jawatannya bagi mendapat suapan dengan memilih syarikat Arcana Jaya bagi projek membekal dan menghantar pejantan dan induk bebiri bernilai RM107,050.
Tertuduh yang juga Ahli Lembaga Pengarah Gapets Sdn. Bhd. mempunyai kepentingan dalam Arcana Jaya yang merupakan milik anaknya.
Bagi pertuduhan kedua, Che Sa’adon didakwa menyalahgunakan kedudukannya untuk memilih Arcana Jaya dengan nilaian berjumlah RM196,496.
Perbuatan itu didakwa dilakukan tertuduh di pejabat Gapets Sdn. Bhd. pada 1 November dan 4 Disember 2016.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Farah Yasmin Salleh dan pegawai pendakwa, Nur Athikah Aziz dan tertuduh pula diwakili peguam, Zul Basyar Saharrudin dan Mohd Zul Azhan. – KOSMO! ONLINE