fbpx

Jangan salahkan Bob, saya kecewa dengan diri sendiri – Tomok

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
TOMOK berrsyukur kerana tidak tersingkir dan masih berpeluang meneruskan kemaraan di pentas GV9 pada minggu depan.

SHAH ALAM – Penyanyi Tomok memohon orang ramai khususnya peminat agar tidak menyalahkan Bob Yusof susulan persembahannya menerima komen negatif daripada barisan juri pada konsert suku akhir Gegar Vaganza musim kesembilan (GV9) semalam.

Menurut pemilik nama lengkap Shah Indrawan Ismail, 38, itu, lagu Awas nyanyian asal kumpulan KRU sangat mencabar kemampuannya sebagai penyanyi.

“Saya akui lagu Awas sangat mencabar kemampuan dan sedar memang ada kesalahan dilakukan untuk persembahan tersebut sehingga menjejaskan kualiti nyanyian.

“Jadi, tolong jangan salahkan Bob. Dia hanya ambil lagu daripada senarai ‘wishlist’ saya dan bukannya membuat pilihan sendiri,” katanya kepada Kosmo! Online semalam.

Pelantun lagu Sejarah Mungkin Berulang itu bagaimanapun bersyukur tidak tersingkir dan masih diberi peluang untuk terus berjuang dalam program popular tersebut.

“Selama lapan minggu semua komen positif tetapi bila terima respons negatif, memang rasa sedih sebab sudah bekerja keras.

“Cuma saya kecewa dengan diri sendiri dan banyak perkara tidak kena seperti lupa lirik dan gemuruh melampau.

“Apa pun, saya usaha untuk beri kelainan cuma tidak mencapai standard sendiri. Syukur masih diberi peluang berada dalam GV9,” ujarnya.

Sementara itu, Bob turut memohon maaf kepada peminat Tomok dan menegaskan tidak mempunyai niat untuk merosakkan persembahan rakannya.

“Di sini saya mohon maaf kepada semua peminat Tomok, tiada istilah dengki atau ingin menjatuhkan kedudukannya dalam GV9.

“Saya hanya pilih lagu ini kerana percaya dia boleh lakukan dan mencuba genre lain, malangnya saya pula dipersalahkan.

“Apa pun syukur dia masih lagi ada dalam GV9, malah kami akan berduet pula pada minggu depan,” katanya.

Semalam, persembahan Tomok pada konsert suku akhir menerima komen negatif juri apabila Datuk Ramli MS menyifatkan nyanyiannya tidak sebagus minggu-minggu terdahulu.

Disebabkan hal itu, segelintir peminat menyalahkan Bob kerana memilih lagu Awas dan berniat untuk menjatuhkan reputasi Tomok.

Pada konsert separuh akhir yang bakal berlangsung minggu depan, Bob dan Tomok menerima tugasan duet bersama menerusi lagu Seniman Menangis. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI