PUTRAJAYA – Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) sedang mengesan dua lelaki warganegara Myanmar bagi tujuan perbicaraan di Mahkamah Sesyen Khas Pati di Semenyih, Selangor.
JIM menerusi kenyataan akhbar hari ini berkata, mereka yang dicari adalah Kyaw Kyaw Htet, 36, yang beralamat terakhir di Magmatrans (M) Sdn Bhd, FF20-21, Tingkat 1, Bangunan Cahaya Suria, Jalan Silang, Kuala Lumpur.
Menurutnya, lelaki kedua pula dikenali sebagai Win Tun Latt, 34, yang beralamat terakhir yang sama seperti individu pertama.
“Kedua-dua mereka dikehendaki berhubung satu kes pendakwaan di bawah Peraturan 39(b) Peraturan -Peraturan Imigresen 1963 atas kesalahan melanggar syarat pas diberikan,” katanya.
Tambah kenyataan itu, orang ramai yang mempunyai maklumat boleh menghubungi Timbalan Penolong Pengarah Imigresen Kanan (TPPK) Mohamad Hairi Husain di talian 03-88801338 dan 03-88801325 pada waktu pejabat dan Bilik Gerakan 03-88801555 selepas waktu pejabat. – KOSMO! ONLINE