fbpx

Gelaran pelakon ‘kayu’ bakar semangat Sharifah Rose 

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
AKUI Sharifah Rose, rupa paras membuka jalan untuknya menceburi dunia lakonan tetapi dia menegaskan, seseorang pelakon itu harus mengambil inisiatif untuk terus belajar.

KUALA LUMPUR – Polemik pemilihan pelakon berdasarkan paras rupa seperti yang pernah dibangkitkan oleh penerbit Datuk A. Aida masih lagi terus hangat diperkatakan dalam kalangan penggiat seni tanah air. 

Membincangkan lanjut perkara berkenaan, satu sesi forum bertajuk Antara Cantik dan Bakat? Di Manakah Pengukuh Kredibiliti? diadakan di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) pagi tadi.

Sebagai salah seorang panel program berkenaan, pelakon jelita Sharifah Rose berpendapat, memiliki paras rupa menawan boleh membuka jalan seseorang untuk mula menceburi bidang seni. 

“Pada awal pembabitan dalam industri saya sangat risau sebab tiada pengalaman tetapi tetap mahu mencuba. Bagi saya benar rupa boleh jadi pembuka jalan namun perlulah ada inisiatif untuk terus belajar. 

“Saya pernah dilabelkan sebagai pelakon ‘kayu’. Kritikan itu saya jadikan sebagai pembakar semangat dan manfaat untuk perbaiki diri,” katanya. 

Program tersebut turut disertai oleh Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas), Prof. Dr. Md. Nasir Ibrahim, pengarah dan penerbit Datuk Yusof Haslam serta dua pelakon lain iaitu Noorkumalasari serta Hariz Hamdan. 

Sementara itu Fahrin Ahmad pula menjadi moderator acara tersebut. 

HARIZ Hamdan, Sharifah Rose, Noorkumalasari dan pengarah serta penerbit Datuk Yusof Haslam antara selebriti yang dijemput selaku panel pada forum Antara Cantik dan Bakat? Di Manakah Pengukuh Kredibiliti? diadakan di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

Berkongsi pengalaman ketika mula menceburi bidang lakonan, Noorkumalasari juga bersetuju paras rupa amat penting kerana trend tersebut merupakan kehendak penonton. 

Bagaimanapun jika seseorang pelakon itu mempunyai bakat yang besar, istilah cantik dapat diterjemahkan menerusi kualiti lakonan yang disampaikan. 

“Penonton mahu melihat rupa dan bakat, jadi memang tidak boleh dinafikan seseorang pelakon itu perlu ada paras rupa cantik. Memiliki kedua-duanya adalah satu anugerah. 

“Bagaimana seorang pelakon yang kurang dari segi paras rupa namun ada bakat besar dia masih boleh menjadi watak utama?

“Lihat bagaimana industri Hollywood ketengahkan bakat mereka. Cantik itu boleh dilihat menerusi watak yang mereka sampaikan,” jelasnya. 

Sementara itu, seorang lagi pelakon baharu, Hariz berpendapat bakat adalah aspek utama yang membolehkan seseorang pelakon itu kekal relevan dan terus menjadi perhatian produksi. 

Pada masa sama, penilaian rupa paras adalah sesuatu yang subjektif dan terpulang kepada cita rasa seseorang untuk menentukan pelakon itu cantik atau sebaliknya. 

“Soal wajah itu sangat subjektif, ada orang kata saya kacak dan ada yang tidak. Semua itu terpulang kepada cita rasa masing-masing. 

“Kalau mahu pilih pelakon cantik, lebih baik ambil model berlakon. Bagi saya tugas penting seorang pelakon adalah menjayakan watak di hadapan kamera. Bakat yang akan membawa seorang pelakon itu maju ke hadapan dan kekal relevan,” ujarnya. 

Acara tersebut turut dihadiri Pengerusi Finas, Senator Datuk Seri Zurainah Musa, penerbit Datuk A. Aida, Ketua Kluster Komunikasi Pusat Pengajian Media dan Komunikasi UKM, Dr. Ammar Redza Ahmad Faizal serta Presiden Persatuan Penulis Wartawan dan Penulis Hiburan Malaysia (WHAM), Datuk Tengku Khalida Tengku Bidin. 

Acara berkenaan merupakan anjuran Finas sebagi salah sebuah program sempena Festival Filem Malaysia ke-32 (FFM32) dengan kerjasama WHAM dan Pusat Pengajian Media dan Komunikasi UKM. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI