SETIAP keputusan yang dibuat akan menentukan sama ada seseorang itu berada di tempat terbaik atau terpinggir daripada kejayaan pada masa depan.
Dalam kehidupan seharian, kita membuat berpuluh-puluh keputusan seperti menu yang ingin dimakan dan pakaian terbaik untuk digayakan ketika menghadiri kelas.
Menjelang Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) pada 19 November depan, setiap rakyat Malaysia yang diberi hak mengundi perlu menggunakan peluang tersebut tanpa banyak alasan.
Nasihat bermakna itu diberikan oleh Gadis Kampus kali ini kepada lebih sejuta golongan muda yang bakal mengundi buat kali pertama di kawasan Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN).
Pemilik nama, Zahirah Zulhairy, 22, berkata, dia sudah tidak sabar untuk mengundi pada PRU15 di tempat kelahirannya di Kuantan, Pahang.
“Rugi jika tidak mengundi kerana inilah peluang terbaik untuk kita memilih pemimpin dan parti politik yang stabil sebagai kerajaan pusat dan kerajaan negeri.
“Tidak guna hanya tahu berkempen di media sosial dengan cara tidak harmoni, tetapi apabila disuruh mengundi tidak mahu pula,” katanya ketika ditemui di Seksyen 13, Shah Alam, Selangor baru-baru ini.
Pelajar jurusan Ijazah Sarjana Muda Rekaan Fesyen di Management & Science University (MSU) itu berkata, dia akan pulang ke desa mengundi sehari sebelum tarikh pengundian.
Penuntut semester akhir pengajian itu berkata, sistem demokrasi secara pilihan raya adalah sesuatu yang baharu kepada dirinya.
Katanya lagi, pilihan perlu dilakukan dengan penuh komitmen kerana bukan mudah memberi mandat kepada sesuatu parti untuk mentadbir negara selama lima tahun.
“Sebaiknya kita perlu memilih pemimpin dan parti yang mempunyai pengalaman. Calon pula perlu mempunyai kelulusan akademik yang sesuai dengan portfolio kementerian masing-masing.
“Jangan memilih pemimpin yang hanya pandai berkata-kata, tetapi tidak mampu untuk menjadikannya realiti. Buat keputusan yang tepat,” jelasnya.
Zahirah yang akan mengundi bagi memilih wakil DUN dan ahli Parlimen di negeri kelahirannya telah memutuskan untuk memilih pemimpin yang mempunyai trek rekod cemerlang dalam pentadbiran negara.
Jelasnya lagi, biarlah pilihan parti politik dan calon menjadi rahsia kerana dibimbangi ada pihak yang akan memanipulasi kenyataannya.
“Zaman ini semua di hujung jari, kita mempunyai warga maya dikenali sebagai netizen yang bebas memberi komen terhadap pandangan seseorang.
“Di dalam keluarga saya sendiri, kami diberi kebebasan untuk menyokong parti masing-masing,” katanya.
Zahirah yang menggemari ayam goreng Korea Selatan berkata, dia bercita-cita untuk menjadi pereka fesyen yang hebat seperti idolanya, Alia Bastamam.
Jelasnya yang pernah menyertai pameran fesyen di Jepun, jika ada rezeki dia ingin berkelana ke luar negara untuk mencari pengalaman dengan pereka fesyen antarabangsa.
“Malangnya, pameran yang diadakan di Jepun itu saya hadiri secara maya dengan rekaan saya sahaja ke sana.
“Bagaimanapun, ia merupakan pengalaman manis saya sebagai seorang pelajar bidang yang diminati sejak di bangku sekolah lagi,” katanya.
Bercerita tentang minat di dalam bidang muzik pula, Zahirah berkata, dia aktif dalam pancaragam sekolah dan meminati penyanyi terkenal, Yuna.
Katanya lagi, dek kesibukan sebagai mahasiswa, bidang muzik hanya dijadikan hobi semata-mata.
“Saya sukakan muzik R&B kerana ia dapat menenangkan perasaan saya apabila tertekan menghadapi masalah dalam urusan seharian.
“Selain mendengar muzik, saya sering melepak dengan rakan karib di restoran atau kafe.
“Ada masa kami akan menonton filem baru di pawagam,” katanya.
Zahirah yang merupakan anak bongsu dari empat beradik itu berkata, dia aktif dalam Kelab Fesyen MSU bagi bertukar-tukar idea dengan rakan dan pelajar universiti sealiran.
“Saya adalah Timbalan Presiden Kelab Fesyen MSU dan aktiviti berpersatuan ini menjadikan saya lebih mudah bertukar-tukar pandangan dengan pelajar lain.
“Masa sekolah dahulu, saya aktif dalam sukan olahraga seperti lompat tinggi dan tidak gemar aktiviti berkumpulan.
“Boleh dikatakan saya dahulu seorang yang banyak bersendirian. Selepas menyertai kelab fesyen ini, saya mula mengenali ramai orang,” katanya.
Mengulas mengenai media sosial, Zahirah berkata, dia aktif di Instagram kerana ia membantu dirinya berhubung dengan penggiat fesyen daripada pelbagai latar belakang.
Seperti kebanyakan generasi muda hari, dia tidak boleh hidup tanpa telefon pintar kerana ia sudah menjadi satu keperluan.
“Menerusi telefon pintar ini kita boleh mendapatkan info tentang rekaan fesyen terbaharu.
“Kita juga boleh mengetahui perkembangan terkini fesyen seperti busana, aksesori, malahan kasut rekaan pereka hebat tempatan seperti Jimmy Choo.
“Apabila membuat hantaran di media sosial, saya hanya berkongsi sesuatu yang bermanfaat untuk diri saya dan orang lain,” katanya.