fbpx

Edufluencers jadi ‘duta’ pendidik

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Sebahagian daripada Edufluencers berbakat telah dipilih untuk menghadiri pertemuan bersama-sama rakan pendidik lain untuk berkongsi idea baharu dan semangat bagi menceriakan lagi sesi pengajaran bersama-sama anak murid.

PETALING JAYA – Pendekatan Edufluencers (pempengaruh pendidikan) dalam sistem pendidikan negara merupakan usaha tepat selain disifatkan lebih mesra dan mudah terutama dalam pembelajaran dan pengajaran (PdP) yang dijalankan mahupun secara fizikal atau dalam talian.

Usaha yang dilaksanakan di bawah Unit Penyampaian dan Prestasi Pendidikan (PADU) itu diwujudkan pada mulanya adalah menyerlahkan inovasi para guru dalam mengguna pakai aspek-aspek Pembelajaran Abad ke 21 (PAK21) dalam PdP.

Menurut kenyataan daripada portal DELIMa, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), kesemua 181 Edufluencers yang dipilih sejak 2019 adalah dalam kalangan yang terbaik dalam bidang pendidikan dan merupakan sekumpulan suri teladan yang dapat memberi inspirasi kepada murid.

Katanya, meskipun tidak diangkat sebagai duta, namun boleh dianggap sebagai pengiktirafan sekali gus memberi ruang dan peluang kepada para guru untuk berkongsi idea baharu dan semangat bersama rakan pendidik yang lain.

Dalam pada itu, seorang guru yang mempunyai pengalaman mengajar selama 14 tahun, Vinothan S. Ramayah berpandangan, program Edufluencers menjadikan PdP itu lebih mudah dan mesra diamati oleh murid.

Guru Bahasa Inggeris di Sekolah Menengah Kebangsaan Damansara Damai 1 itu berkata, usaha tersebut juga mendorong dirinya untuk melakukan pembaharuan dalam bilik darjah melalui penggunaan teknologi seiring dengan matlamat PAK21.

“Dengan pendekatan baharu ini, kita dapat lihat murid-murid seronok belajar. Walaupun murid itu lemah, kita nak mereka turut menyertai menjadi murid aktif.

“Sebab itu saya suka perkara-perkara yang menarik perhatian mereka. Umpamanya murid suka media sosial media, jadi saya gunakan sosial media. Semua perkara ini memang sangat mendorong saya untuk menjadi seorang guru yang lebih baik,” katanya kepada Kosmo! baru-baru ini.

Selain itu, Vinothan juga percaya bahawa Edufluencers dapat menyelesaikan masalah dan kekangan yang dihadapi oleh murid yang tidak berpeluang untuk mendapatkan bahan pembelajaran dalamtalian.

“Memang sebelum ini kita ada cabaran terutama sewaktu pandemik COVID-19 apabila pembelajaran dibuat di rumah. Namun, sekarang kita sudah dapat mengatasinya.

“Mungkin ada yang tak dapat mengikuti kelas secara dalam talian. Jadi kita buat secara luar talian offline seperti mengedarkan nota-nota,” ujarnya.

Dalam pada itu, Vinothan juga berharap agar lebih ramai guru dapat menyertai program Edufluencers ini pada masa akan datang.

“Di luar sana sebenarnya, ada ramai guru yang berbakat dan mereka boleh bersama-sama kami dalam usaha memartabatkan profesion guru dan melakukan pembaharuan.

“Harapan saya, murid dapat memberi tumpuan dalam pelajaran dengan menggunakan kaedah yang sesuai.

“Guru perlu bekerjasama dengan murid dan suatu hari saya berharap murid di Malaysia ini, rata-ratanya menjadi celik teknologi informasi (IT),” katanya.

Seorang lagi Edufluencers dari Sekolah Kebangsaan Dato Laksamana Raja Mahkota, Annetta Zaity Zainal menyifatkan, komuniti Edufluencers menunjukkan bahawa negara memiliki pendidikan yang berkaliber serta berbakat.

Malah, katanya, apa yang lebih mengagumkan adalah guru-guru Edufluencers sangat kreatif dalam PdP untuk kemajuan pendidikan.

“Secara asasnya memang mahu meningkatkan pencapaian diri sendiri, tetapi secara tidak langsung kami di Edufluencers ini dapat menaikkan martabat perguruan.

“Apabila kami berkumpul dalam Program Edufluencers, kita lihat guru-guru yang hebat dalam PdP serta mempunyai banyak idea untuk diketengahkan, malah kita rasa ini lah perguruan yang sebenar dan mampu menaikkan pendidikan negara.

“Jadi, di komuniti ini, kita boleh lihat usaha warga pendidik itu tidak kenal erti penat lelah, sebab apa pun yang dibuat adalah demi anak murid,” katanya.

Bagaimanapun, Annetta Zaity yang mempunyai pengalaman mengajar lebih 22 tahun itu berkata, program Edufluencers diharapkan berterusan dengan melibatkan lebih banyak kumpulan bagi membolehkan guru-guru saling bertukar ilmu pengetahuan.

“Sebenarnya sedih kalau komuniti ini berhenti setakat sini atau habis begitu sahaja, kalau boleh, biarlah ia dikembangkan lagi dan dapat jadi model atau contoh kepada guru-guru baharu,” ujarnya.

Bagi seorang guru yang dikenali sebagai Stephen dan juga seorang Eduflencers, berkata, beliau mempunyai minat untuk mengajar ketika menjadi guru sementara setelah mengambil keputusan Sijil Pelajaran Malaysia.

“Saya telah mengajar selama dua bulan sebelum memasuki tingkatan enam selepas itu, namun pengalaman tersebut begitu bermakna sehingga saya membuat keputusan untuk menjadi seorang guru.

“Setelah beberapa tahun mengajar, saya telah dinobatkan sebagai TOP 10 Guru Adiwira pembelajaran abad ke-21 (PAK21) pada tahun 2018

Katanya, dari situ dia bersama rakan-rakan lain telah disenarai pendek sebagai salah seorang Edufluencers pada tahun 2019.

Sebagai Edufluencers, beliau sentiasa membuat perkongsian dari segi pendekatan, inovasi dan aktiviti yang dilakukan bersama anak-murid.

“Saya juga akan berkongsi pandangan dan pendapat tentang isu pendidikan. Segala perkongsian ini biasanya akan dilakukan dalam talian seperti webinar dan media sosial,” jelasnya.

Melalui pelaksanaan Edufluencers ini, KPM berharap agar guru-guru dapat membangunkan keupayaan bagi memudahkan pencapaian murid pada masa sama mendapat lebih keseronokan serta kepuasan dalam menjalankan tugas sebagai guru. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI