BERA – Karnival Kerjaya dan Jamin Kerja Keluarga Malaysia sempena Program Karnival Anak Muda Gegor Bera menjanjikan lebih 2,000 peluang pekerjaan membabitkan 15 majikan ditawarkan kepada anak muda di seluruh negeri Pahang.
Rata-rata golongan muda yang ditemui menyatakan karnival seperti itu amat dinantikan yang memberi peluang kepada mereka untuk mendapat pekerjaan.
Seorang pengunjung, Rosdewi Amy, 21, menganggap kehadirannya di Bera sebagai langkah kanan apabila dia ditawarkan pekerjaan di sebuah syarikat perkilangan di Shah Alam, Selangor.
Dia yang berasal dari Kampung Pantos, Kuala Lipis memberitahu, sebelum ini dia bekerja di sebuah kilang di Negeri Sembilan, namun berusaha mencari pekerjaan lain yang boleh menawarkan gaji yang lebih baik.
“Saya gembira apabila ditawarkan kerja baharu, dengan gaji yang lebih tinggi. Saya berterima kasih kepada Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) dan juga kerajaan yang menyediakan peluang ini,” katanya.
Sementara itu, Aning Kasim, 20, berkata, dia tidak sangka mendapat pekerjaan dalam kunjungan di karnival kerjaya dalam Program Karnival Anak Muda Gegor Bera hari ini.
Dia yang sebelum ini berkerja kilang berkata, dia kini ditawarkan untuk berkhidmat di salah sebuah restoran makanan segera di Dengkil, Negeri Sembilan.
“Tak kisahlah kerja di mana pun asalkan saya dapat meningkatkan taraf kehidupan saya ke arah lebih baik. Jika sebelum ini saya kerja di kilang tetapi selepas ini, saya akan bertukar suasana kerja yang semestinya akan memberikan pengalaman baharu bagi saya,” katanya.
Katanya, pihak berkenaan perlu meneruskan program seperti ini bagi memberi ruang kepada anak muda untuk mendapatkan pekerjaan melalui saluran yang mudah.