fbpx

Ahli PenMutiara tidak undi pemimpin sokong projek tambak laut

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Ibrahim (tengah) ketika sidang akhbar di Batu Maung, di sini hari ini.

GEORGE TOWN – Kira-kira 6,000 ahli Persatuan Nelayan Pulau Pinang (PenMutiara) memberi bayangan tidak akan memilih pemimpin parti yang menyokong projek tambakan laut selatan (PSR) dan projek tambakan laut lain di Pulau Pinang.

Pengerusinya, Ibrahim Che Rose berkata, golongan nelayan Pulau Pinang sebulat suara menyokong pemimpin parti yang mengutamakan kebajikan dan masa depan nelayan.

”Kami akan menolak mana-mana pemimpin parti yang menyokong projek tambakan laut dan hanya menyokong pemimpin yang membela nasib golongan nelayan,” katanya dalam sidang akhbar di PenMutiara, di sini hari ini.

Pelaksanaan projek PSR seluas hampir 17 kilometer persegi itu membabitkan projek pembangunan tiga pulau buatan berkeluasan 1,700 hektar di perairan Permatang Damar Laut berdekatan Bayan Lepas.

Projek itu dibina bagi membiayai pelbagai projek infrastruktur dalam Pelan Induk Pengangkutan Pulau Pinang (PIP) yang bernilai kira-kira RM46 bilion.

Selain projek PSR, kerajaan negeri juga dalam perancangan untuk menjalankan 10 projek tambakan laut di Pulau Pinang bagi menambah rizab tanah di negeri ini.

Menurut Ibrahim, ahli-ahli PenMutiara juga menyeru Kerajaan Pusat baharu yang bakal dibentuk selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) untuk menolak dan membatalkan projek PSR dan mana-mana projek tambakan lain di negeri ini.

”Sehingga hari ini, terdapat lebih daripada 10 cadangan projek penambakan di seluruh negeri ini, dan ini sudah pasti memberi impak negatif kepada komuniti nelayan.

”Oleh itu, kami meminta agar kerajaan baharu yang bakal dibentuk selepas ini untuk membatalkan projek PSR dan cadangan projek tambakan lain di negeri ini,” katanya.

Tambahnya, kerjaya sebagai nelayan mungkin akan terhapus pada masa depan sekiranya kesemua 10 projek tambakan itu dilaksanakan di negeri ini.

”Kawasan laut Pulau Pinang Selatan merupakan lubuk bagi spesis hidupan marin seperti ikan malah spesis udang bermutu tinggi juga membiak di kawasan ini.

”Jadi, sekiranya projek tambakan tetap dilaksanakan di sini sudah pasti krisis bekalan ikan akan berlaku kerana kawasan pembiakan spesis hidupan marin telah musnah,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI