HOBINYA bukan menunggang kuda, sebaliknya menjadi replika menyerupai seekor kuda dengan badannya turut dilengkapi pelana, kekang dan bit.
Pelik tapi benar, itulah yang berlaku terhadap seorang wanita dikenali sebagai Leanne. Wanita ini menggelarkan dirinya sebagai Shyanne apabila bertukar menjadi seekor kuda.
Lebih memeranjatkan lagi apabila dia menyuruh rakan baiknya sendiri, Grace untuk menungganginya di belakang.
Mengakui pelik, namun Leanne bertegas bahawa menjadi seekor kuda bukan sahaja menjadikan dirinya seronok, bahkan membawa dia ke ‘tempat indah’ bagi membolehkannya berehat dan benar-benar menjadi diri sendiri.
“Apabila menjadi seekor kuda dan badan dilengkapi dengan peralatan, saya berasa lebih bebas. Saya menjadi diri saya yang sebenar,” katanya.
Leanne yang merupakan seorang pencinta haiwan memiliki beberapa ekor kuda serta seekor kucing bernama Ember.
Katanya, setiap kali melihat kuda-kuda peliharaannya, dia membayangkan haiwan tersebut adalah dirinya.
Berkongsi lanjut, apabila dia bertukar menjadi seekor kuda, rakannya Grace akan memainkan peranan sebagai individu yang mengambil tampuk, memimpin dan ‘memandu’ dirinya seperti dilakukan terhadap kuda poni sebenar.
Sudah tentu, muncul di depan khalayak ramai dan berpakaian seperti kuda memang akan mendapat beberapa reaksi yang melampau.
Namun, Leanne mengatakan bahawa kebanyakan orang yang ditemui bersikap positif dengan apa yang dilakukannya.
“Apabila dunia melihat saya sebagai kuda, ia akan membuatkan mereka berfikir bahawa ini merupakan satu perkara menakjubkan.
“Bagi saya, ia melibatkan unsur kerohanian. Saya berada di alam yang berbeza kerana tidak perlu bimbang tentang bil mahupun pergi bekerja.
“Saya seorang yang introvert (penyendiri) dan meluahkannya dengan menjadi gadis kuda.
“Setiap hari ketika bangun untuk ke tempat kerja, saya sering rasa mahu melarikan diri. Tetapi selepas menjadi gadis kuda, hasrat tersebut diluahkan menerusi penyamaran sebagai seekor kuda.
“Keadaan tersebut begitu menggembirakan saya. Saya rasa, semua individu perlu merasainya,” tambahnya.
Katanya, dia tidak berpuas hati dengan hanya berdandan, sebaliknya mahu merasai semua yang dilakukan oleh seekor kuda.
Justeru, dia mengubah taman di belakang rumahnya, menambah set kandang bersaiz manusia dan sebuah kandang berpasir.
Katanya, dia membelanjakan antara £5,000 (RM23,802) dan £10,000 (RM47,605)untuk memenuhi minatnya itu. Pun begitu, dia langsung tidak merasakan ia membazir.
Sebaliknya berpuas hati dengan setiap wang yang telah dibelanjakan.
Sementara itu, rakan baiknya, Grace mempunyai pandangan sama dengan Leanne yang beranggapan menjadi seekor kuda adalah sebahagian daripada cara untuk mengatasi rasa malunya.
“Saya mengemudi dan memberi arahan kepadanya dengan menarik tali.
“Itu kaedah yang baik dan dia boleh bertindak balas terhadap tekanan pada kedua-dua belah mulutnya, sama seperti menunggang kuda sebenar,” ujarnya.
Menurut Grace, Leanne seorang penyendiri, tetapi apabila berada di ‘zon’ kuda, dia menjadi sangat berbeza.
“Saya fikir ini merupakan salah satu cara bagi meluahkan sebahagian besar keperibadiannya. Itulah identiti dirinya yang sebenar.
“Anehnya, Leanne tidak segan silu untuk menyertai ensembel kuda poni. Dia bukan hanya melakukan di dalam privasi rumahnya, sebaliknya berlari di halaman rumah, berjalan ke kedai atau seharian di perlumbaan.
Dalam pada itu, seorang pakar sosiologi, Dr. Carol Queen berkata, ia merupakan satu normal apabila seorang individu malu untuk bermain dengan haiwan.
“Mengambil identiti baharu boleh membawa anda keluar daripada perasaan malu dan menjadi individu lain,” jelasnya.