PETALING JAYA – Sut ala James Bond yang digayakan bintang Gegar Vaganza musim kesembilqn (GV9), Hazrul Nizam pada konsert minggu kesembilan mencairkan hati ramai peminat, termasuklah juri tetap, Datuk Syafinaz Selamat selepas pakaian penyanyi itu dikritik pada konsert minggu lalu.
Tampil menyanyikan lagu Writing’s On The Wall dendangan asal Sam Smith, persembahan penyanyi asal Singapura itu turut mendapat pujian melangit daripada Syafinaz sehingga membuatkan guru vokal itu naik ke atas pentas.
“Pakaian minggu ini ‘onz!’. Sedondon dengan saya. Macam inilah yang saya mahukan. Kalau boleh pakai sampai bila-bila pun tak apa,” puji Syafinaz.
Syafinaz turut memberikan pujian terhadap nyanyian Hazrul dengan menyifatkan persembahan pada konsert minggu kesembilan adalah yang terbaik penyanyi itu setakat ini.
“Daripada segi nyanyian, persembahan awak pada minggu ini (kesembilan) adalah yang terbaik berbanding minggu-minggu sebelumnya,” kata Syafinaz.
Terdahulu, pada konsert minggu kelapan, pakaian yang digayakan Hazrul ditegur tidak menarik sewaktu menyampaikan lagu Widuri oleh Bob Tutupoly.
“Boleh tak tukar baju tu? Sebab secara visual, anda memerlukan lebih bantuan. Setiap minggu, saya tengok kadang-kadang okey, kebanyakan masanya tidak begitu menarik.
“Anda perlu usahakan busana yang lebih menarik. Sebab anda adalah seorang lelaki yang tampan dan menawan,” kata Syafinaz. – KOSMO! ONLINE