TAIPING – Anggota tentera perlu menterjemahkan rasa tidak puas hati mereka berhubung dakwaan berunsur fitnah oleh Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan mengundi Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein berkata, dakwaan Anwar itu bukan sahaja meragui integriti Angkatan Tentera Malaysia (ATM) malah mencalar kredibiliti pasukan.
“Saya sebenarnya marah dan maklum balas yang diterima daripada ATM pun beritahu ramai anggota kita marah (dengan dakwaan Anwar).
“(Jadi) terjemahkan kemarahan tersebut kepada sokongan untuk BN pada hari pengundian nanti,” katanya ketika ditemui pemberita selepas mengadakan walkabout di Tapak Pasar Malam dan Harian Kamunting di sini hari ini.
Menurut Hishammuddin, tuduhan sebarangan Presiden PKR itu bukan sahaja membangkitkan kemarahan warga tentera malah orang ramai.
Terdahulu, Anwar dalam ceramah di Kuala Nerus, Terengganu mendakwa ada anggota tentera dalam Parlimen Bera di Pahang sudah melaksanakan undi awal dan mereka dibayar RM300 setiap seorang. – KOSMO! ONLINE