REMBAU – Seorang peniaga air tebu yang menghidap batu karang dan mudah penat memohon bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) untuk menampung perbelanjaan anak bongsunya yang masih bersekolah di tingkatan dua.
Zailan Ahmad, 58, berkata, sejak isterinya meninggal dunia dua tahun lalu, keadaan kesihatannya merosot dan dia juga tidak dapat berniaga air tebu setiap hari.
Menurutnya, dia juga sudah kerap meminjam dengan keluarga serta saudara bagi memenuhi keperluan harian serta membaiki keretanya yang rosak sehingga mencecah ribuan ringgit.
“Bil air dan elektrik juga tertunggak hampir RM300. Saya pula hanya tinggal di kedai dengan sewa RM120 sebulan, tetapi mujurlah tuan rumah tidak menuntut bayaran walaupun sudah tertunggak tiga bulan.
“Ada kawan-kawan yang kasihan telah menghubungi Pertubuhan Kebajikan Asnaf Setia Kasih bagi meringankan beban saya,” katanya ketika ditemui di Kampung Batu di sini semalam.
Ujar Zailan, sebelum ini dia pernah memohon bantuan JKM buat dirinya kerana masalah kesihatan yang dialami, namun ditolak atas alasan mempunyai kemampuan iaitu dua anak yang sudah habis sekolah serta langganan stesen televisyen berbayar.
Bagaimanapun, menurutnya, kemudahan itu sudah pun dipotong serta anak pertamanya berusia 26 tahun iaitu lulusan universiti awam pula hanya bekerja di kedai pakaian terpakai.
“Anak perempuan kedua saya berusia 21 tahun pula membantu saya berniaga air tebu. Saya kasihan dengan anak bongsu kerana kadangkala tiada duit belanja sekolah,” katanya.
Orang ramai yang ingin menyumbang boleh menyalurkannya ke akaun Bank Simpanan Nasional 05300-41-00001589-7 atas nama Zailan Ahmad. -KOSMO! ONLINE