fbpx

Joe Biden tiba di Kemboja, hadiri persidangan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Biden (tengah) disambut oleh pegawai Kemboja sejurus tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Phnom Penh semalam. – AFP

PHNOM PENH, KEMBOJA – Presiden Amerika Syarikat (AS), Joe Biden tiba di Phnom Penh, Kemboja, pagi semalam (waktu tempatan) bagi menghadiri beberapa persidangan dan mesyuarat dengan para pemimpin negara-negara Asia Tenggara, lapor stesen penyiaran CNN.

Mesyuarat hujung minggu di Kemboja itu berlangsung sebelum persidangan Kumpulan 20 (G20) di Pulau Bali, Indonesia minggu depan, di mana Biden dijadual bertemu dengan Presiden China, Xi Jinping secara berdepan buat pertama kali. 

Mesyuarat Persatuan Negara-Negara Asia Tenggara (ASEAN) dan Persidangan Asia Timur hari ini, yang juga berlangsung di Phnom Penh dilihat akan menjadi peluang kepada Biden untuk berbincang dengan sekutu-sekutu AS sebelum bertemu dengan Jinping.

Penasihat Keselamatan Negara AS, Jake Sullivan berkata, Biden mahu meningkatkan penglibatannya dengan rantau Indo-Pasifik sejak beliau memulakan tugas di White House.

Tambahnya, kedatangan pemimpin itu di persidangan ASEAN dan Asia Timur hujung minggu ini akan mengetengahkan usahanya setakat ini, termasuk Rangka Kerja Ekonomi Indo-Pasifik yang diumumkan awal tahun ini serta usaha-usaha kerjasama keselamatan.

“Beliau hadir ke persidangan-persidangan ini bersama rekod pencapaian serta matlamat yang diharap dapat diketengahkan dalam tempoh 36 jam ini bagi membina asas untuk membawa penglibatan AS terus ke hadapan.

“Beliau juga mahu mengetengahkan beberapa inisiatif yang kukuh dan praktikal,” kata Sullivan kepada pemberita ketika berada di dalam pesawat Air Force One.

Antara inisiatif tersebut kata Sullivan, melibatkan kerjasama maritim, keterhubungan digital dan pelaburan ekonomi.

Isu di Myanmar turut akan menjadi fokus utama dalam persidangan, selain empat ancaman global yang akan menjadi agenda utama iaitu perang Russia-Ukraine, ketegangan dengan China, perubahan iklim dan risiko kegawatan ekonomi global.

Konflik peningkatan provokasi bagi pelancaran peluru berpandu Korea Utara serta program nuklear Iran turut akan menjadi topik utama yang bakal dibincangkan. – Agensi 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI