BUENOS AIRES – Argentina dilihat menyenaraikan jentera serangan paling mengancam dalam misi membawa pulang trofi Piala Dunia 2022 yang akan berlangsung di Qatar bermula 20 November ini.
Seperti dijangka, ketua jurulatih La Albiceleste, Lionel Scaloni membawa bintang Paris Saint-Germain (PSG), Lionel Messi untuk menghadapi kempen Piala Dunia yang kelima dalam kariernya.
Nama-nama lain seperti dua penggempur Inter Milan, Lautaro Martinez dan Joaquin Correa, Angel Di Maria (Juventus), Nicolas Gonzales (Fiorentina) serta Julian Alvarez (Manchester City) turut dibawa ke Qatar.
Malah, pengendali berusia 44 tahun itu tetap mengambil risiko berani dengan menyenaraikan juara penyerang AS Roma, Paulo Dybala yang masih mengalami kecederaan untuk menguatkan bahagian serangannya.
Beliau percaya Dybala sempat mencapai tahap kecergasan terbaik sebelum aksi pertama Kumpulan C menentang Arab Saudi di Stadium Lusail pada 22 November ini selepas disahkan pulih sepenuhnya daripada kecederaan paha.
“Kesemua mereka yang dipanggil amat berbangga untuk menyenarai jersi skuad kebangsaan. Saya percaya inilah masanya buat semua pihak termasuk penyokong bersatu demi Argentina,” kata Scaloni.
Berdasarkan senarai akhir 26 pemain diumumkan kelmarin, Argentina diramal berpeluang menamatkan penantian 36 tahun bergelar juara dunia sejak kali terakhir menjuarainya pada edisi Mexico 1986.
Ia juga peluang terbaik buat Messi menutup karier antarabangsanya dengan menjulang trofi keramat itu selepas muncul naib juara ekoran kekalahan tipis 0-1 kepada Jerman pada final 2016 di Brazil. – AGENSI