JAKARTA – Sebatang jalan di hadapan rumah bakal menantu Presiden Joko Widodo (Jokowi), diturap menjelang majlis perkahwinannya yang dijadual berlangsung pada Disember ini, lapor laman berita Tribunnews kelmarin.
Kerja-kerja penurapan jalan di hadapan rumah gadis bernama Erina Gudono itu dikatakan menelan belanja sebanyak 193 juta rupiah (RM57,716), melibatkan laluan sepanjang 387 meter.
Kediaman tersebut terletak di Kabupaten Sleman, Jogjakarta.
Menurut kontraktor penurapan, Suprianto, proses menampal jalan bermula pada Selasa lalu dan diikuti dengan penurapan keesokan harinya.
“Turapan itu akan menjadi kurang kukuh jika ia terlalu basah jadi, kami perlu sesuaikan dengan keadaan cuaca. Ia selesai hari ini (Rabu lepas),” katanya.
Erina atau nama penuhnya, Erina Sofia Gudono bakal melangsungkan perkahwinan dengan anak bongsu Jokowi, Kaesang Pangarep pada 10 Disember ini.
Sementara itu, Suprianto berkata, dia menerima tugasan itu daripada pejabat daerah setempat, namun, tidak mengetahui mengenai penyerahan cadangan.
“Setahu kami, ia berkaitan dengan majlis perkahwinan (Kaesang dan Erina), namun tidak mengetahui maklumat lanjut mengenai penyerahan cadangan. Kami hanya pelaksana,” katanya.